Cabar diri teroka dunia baharu rentas sempadan antarabangsa


Mohd Syazwan meletakan harapan agar Nat Geo Asia memiliki pejabat dan pusat operasi sendiri di Malaysia setanding, Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina.

MENGGALAS tanggungjawab sebagai Pengarah Seni Program, National Geographic Asia (Nat Geo Asia) membuatkan Mohd Syazwan Anuar perlu berkelana ke pelosok dunia demi merungkai kisah realiti kehidupan masyarakat kawasan pendalaman.

Setiap apa yang menangkap matanya, akan turut diabadikan dalam bentuk foto dan video untuk dijadikan dokumentari sekali gus bersiaran di saluran televisyen tersebut.

Berkongsi tentang pengalamannya, Mohd Syazwan, 37, mengakui itu bukan satu tugas mudah apatah lagi perlu berhadapan dengan pelbagai kemungkinan seperti penularan penyakit, keselamatan dan jurang komunikasi.

“Kebanyakan penggambaran dilakukan di luar negara dan saya terpaksa meninggalkan anak bersama isteri untuk tempoh agak lama. Boleh dikatakan dalam setahun, saya bekerja 11 bulan dan hanya sebulan sahaja benar-benar bercuti.

“Namun, dalam tempoh yang panjang itu saya tetap ada waktu-waktu senggang, tetapi tidak terlalu lama kerana perlu fokus pada kerja. Selain berjauhan dengan keluarga, saya juga perlu sedia dengan sebarang kemungkinan seperti penyakit malaria, penyakit kulit dan beberapa penyakit berjangkit lain,” jelasnya kepada Majoriti.

majoriti2022 (7)

Tanpa berselindung, Mohd Syazwan yang turut mesra disapa sebagaI Noit itu mengakui pada awalnya dia menitiskan air mata apabila mengetahui akan ditugaskan di kawasan sebegitu.

Masakan tidak, kerjayanya yang sebelum ini lebih tertumpu kepada kehidupan di kota raya yang jauh lebih selesa berbanding perlu bersusah payah termasuk berhujan panas di kawasan serba-serbi kekurangan.

Rata-rata lokasi pilihannya jauh di ‘hujung dunia’ kerana dia ditempatkan di bahagian People and Natural Disasters (Kemanusiaan dan Bencana Alam). Dokumentari berbentuk kemanusiaan yang sering dilakukannya lebih tertumpu kepada penduduk asli di Indonesia.

Boleh dikatakan dia banyak menghabiskan masa di republik itu kerana bentuk kandungan lebih dekat dengan gaya pemikiran dan kehidupan masyarakat Malaysia.

Work III

Rasa bertuah

Melihat kepada kehidupan penduduk yang kedaifan, Mohd Syazwan mengakui dia berasa bertuah dan bersyukur dengan segala dimiliki di negara ini terutama mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Bagaimanapun, tidak mengira sama ada tempatan mahupun luar negara, apa yang menyedihkan buatnya ialah peluang penduduk untuk mendapatkan pendidikan.

Baginya, pendidikan hanya satu cara untuk membebaskan diri daripada kemiskinan dan peluang menjalani kehidupan seiring dengan perubahan waktu.

“Orang asli yang tinggal di pendalaman boleh dikatakan sebagai penjaga hutan. Mereka bukan tidak mahukan perubahan, tetapi jika kita kehilangan mereka, siapa yang akan memelihara flora dan fauna.

majoriti2022 (8)

“Kerakusan orang bandar untuk mendapatkan keuntungan hasil hutan seperti balak dan membuka penempatan baru tanpa kawalan secara tidak langsung menjejaskan eko sistem semula jadi,” jelasnya.

Melihat kepada perkara itu, Mohd Syazwan yakin tugasnya sebagai Pengarah Seni Program yang fokus kepada konsep dan bentuk perjalanan sesebuah dokumentari itu dilakukan mampu memberi inspirasi kepada masyarakat setelah menonton karyanya bersama pasukan.

Terang bapa kepada seorang cahaya mata itu, dia merupakan individu yang membentuk jenis pengisian, penceritaan dan perjalanan dokumentari tersebut untuk paparkan di kaca televisyen.

Kemahirannya dalam bidang rekaan grafik dan pengalaman berkhidmat dengan beberapa organisasi media tempatan termasuk sebuah agensi pengiklanan, membuatkan dirinya begitu ‘taksub’ dengan kamera sehingga membantu berada di posisi itu.

Gerbang baharu

Work I

Dalam pada bercerita tentang nuansa pengalaman di negara orang, Mohd Syazwan berkongsi mengenai perjalanan kerjayanya sebelum berkhidmat dengan organisasi antarabangsa itu.

Dia yang sebelum ini lebih terarah kepada rutin serupa setiap hari, berusaha untuk mencari kelainan dengan melakukan anjakan dalam diri agar sentiasa memiliki nilai tambah.

Selain kemahiran digital, dia turut mahir menangkap gambar dan video dengan mempunyai nilai estetika tersendiri.

Mengulas mengenai itu, Mohd Syazwan tidak membuktikan keluar daripada zon selesa merupakan satu petanda kejayaan. Baginya, tindakan itu lebih kepada usaha untuk mencari keserasian dan kesepadanan.

“Tidak adil jika mengatakan mereka yang suka berada di zon selesa tidak berjaya mahupun memaksa mereka untuk lakukan sesuatu perkara berbeza. Seperti saya, kekerapan membuat perkara sama berulang kali buat saya terfikir, apa lagi kemampuan atau kerja yang boleh dilakukan.

majoriti2022 (9)

“Terus terang ada bidang yang saya tidak tahu, tetapi dengan peluang diberikan, saya berusaha untuk belajar. Kini apa yang boleh dikatakan, saya sudah berasa selesa dan sukakan kerja ini.

“Memang benar, kerjaya sebegini memperuntukkan banyak tenaga, masa dan pengorbanan, tetapi peluang menimba pengalaman baru dan sudut pandangan berbeza setiap hari memberikan kepuasan. Saya juga berasa teruja dan senorok apabila berpeluang mengembara ke negara orang,” ujarnya optimis.

Inspirasi

Melanjutkan cerita, Mohd Syazwan turut berasa terima kasih kepada kerjayanya itu kerana menjadikan diri individu yang lebih menghargai keindahan alam.

Kecintaan terhadap keindahan hutan, laut dan segala hidupan yang ada membuatkan dirinya berasa bertanggungjawab memelihara serta memulihara.

“Dahulu saya bukan seorang penggemar siri dokumentari, tetapi selepas terlibat dalam penghasilannya, saya menjadi seronok dan teruja. Tidak mengira sama ada merakam detik mengerikan seperti gempa bumi, tsunami mahupun letusan gunung berapi, segalanya memiliki makna dan cerita tersendiri.

“Memang tugas ini agak berbahaya, tetapi semangat dan keinginan untuk berkongsikan kepada umum membuatkan saya sentiasa bersemangat dan berusaha berfikir lebih kreatif dan kritis agar dapat memberikan hasil berkualiti,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram