[VIDEO] Sudah jatuh ditimpa tangga, helikopter 'ranapkan' pusat pemindahan mangsa gempa bumi


  • Benua
  • Jumaat, 25 Nov 2022

Kejadian itu menyebabkan semua khemah yang ada di kawasan tersebut berterbangan lalu terbalik.

TULAR di media sosial sebuah video memaparkan saat pendaratan sebuah helikopter yang menyebabkan huru-hara di pusat pemindahan mangsa gempa bumi di Cianjur, Jawa Barat, Indonesia.

Video tersebut dikongsi oleh sebuah akaun Instagram @biruyarina pada Khamis.

Kejadian berlaku melibatkan sebuah penempatan sementara dan khemah perubatan untuk mangsa musibah yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 271 orang setakat pukul 8 pagi Jumaat.

Difahamkan, helikopter itu sedang mendarat di kawasan tersebut namun impak angin daripada kipas kenderaan udara itu terlalu kencang.

Ini menyebabkan semua khemah yang ada di kawasan tersebut berterbangan lalu terbalik.

Keadaan itu menimbulkan rasa panik dalam kalangan mangsa gempa bumi sehingga ada yang lari berteriakan.

Sebagai rekod, gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter melanda daerah Cianjur, Jawa Barat, Indonesia pada Isnin telah mengorbankan 271 nyawa dan 40 individu dilaporkan hilang.

Sekurang-kurangnya 2,043 orang cedera dan 61,908 orang ditempatkan di pusat pemindahan selepas 56,320 kediaman rosak.

Gempa bumi baru-baru ini disifatkan yang terburuk di Indonesia selepas gempa bumi dan tsunami Sulawesi pada 2018 yang meragut kira-kira 4,340 nyawa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram