[VIDEO] Jangan percaya khabar angin, letusan Gunung Semeru tidak sebabkan tsunami


  • Benua
  • Isnin, 05 Dis 2022

Penduduk terpaksa meninggalkan kediaman bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

LETUSAN Gunung berapi Semeru di Jawa Timur, Indonesia tidak menyebabkan berlakunya kejadian tsunami.

Perkara itu disahkan Agensi Pengurusan Bencana Indonesia selepas terdapat khabar angin mengatakan kejadian letusan itu boleh menyebabkan tsunami sehingga ke negara Jepun.

"Ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan khabar angin mengenai kejadian letusan tersebut.

"Gunung Semeru merupakan gunung yang terletak jauh dari laut dan potensi letusan tidak sampai ke laut sehingga berlaku tsunami," katanya.

Tambah kenyataan tersebut, kemungkinan kejadian tsunami berlaku sehingga ke negara Jepun adalah sangat tipis.

"Sekiranya kejadian itu berlaku, ia akan terhalang dengan gugusan kecil yang terdapat di sekitar Indonesia," jelasnya.

B3506A34-8E0B-43FE-BBB3-098EA99B1EFF

Letusan yang berlaku di Gunung Semeru pada Ahad.

Terdahulu, gunung berapi setinggi 3,676 meter itu meletus pada pukul 2.46 petang (waktu tempatan) pada Ahad.

Kejadian letusan itu menyebabkan kawasan tersebut diselubungi abu hitam dan hampir 2,500 penduduk tempatan terpaksa berpindah.

Amaran tahap tertinggi telah dikeluarkan kepada penduduk untuk tidak menghampiri dalam lingkungan 8 kilometer (KM) dari puncak atau 500 meter dari tebing sungai kerana risiko aliran lava.

Gunung Semeru pernah meletus pada tahun lalu hingga mengorbankan lebih 50 orang dan menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal.

Negara kepulauan dengan 270 juta penduduk yang terletak di sepanjang Lingkaran Api Pasifik, Indonesia adalah antara negara paling terdedah kepada bencana gempa bumi.

Dengan 142 gunung berapi, Indonesia mempunyai populasi terbesar di dunia yang tinggal dalam jarak dekat dengan gunung berapi, termasuk 8.6 juta dalam jarak 10 KM.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram