[VIDEO] Terperangkap bawah runtuhan gempa bumi 3 hari, Azka ditakdir panjang umur


  • Benua
  • Rabu, 23 Nov 2022

Tangkap layar video yang memaparkan mangsa berusia 10 tahun diselamatkan pihak berkuasa. — Agensi

SEORANG kanak-kanak berusia 10 tahun bernama Azka ditemukan selamat selepas terperangkap dalam runtuhan rumah selama tiga hari pada Rabu.

Azka ditemukan terperangkap dalam runtuhan rumahnya di Kampung Rawacina, Jawa Barat pada Rabu dalam keadaan lesu sebelum dikejarkan ke hospital.

Ketua Desa Nagrak, Hendi Saeful Maladi berkata, nenek Azka yang dikenali sebagai Eda turut ditemukan berada berhampirannya.

"Namun, ketika ditemukan, Eda sudah meninggal dunia.

"Usaha pencarian kedua-dua mangsa itu dilakukan sejak hari pertama kejadian gempa bumi di Jawa Barat selepas kedua-duanya dilaporkan hilang," katanya.

Menurutnya lagi, kedua-dua mangsa ditemukan hasil operasi yang dilakukan bersama anggota tentera, polis dan bomba yang berada di lokasi.

Tambahnya, mangsa yang meninggal dunia telah dikebumikan penduduk setempat pada hari sama.

Terdahulu, berlaku gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter di Cianjung yang menyebabkan ratusan penduduk maut.

Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil berkata, setakat pada Selasa, seramai 162 orang dilaporkan maut dan 13,000 penduduk disahkan hilang tempat perlindungan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram