[VIDEO] Suasana pilu, penduduk keluarkan mayat bayi mangsa gempa bumi Jawa Barat


  • Benua
  • Selasa, 22 Nov 2022

Tangkap layar yang memaparkan detik mayat bayi dikeluarkan dari timbunan runtuhan rumah.

TULAR di media sosial sebuah video yang menyaksikan mayat sekeluarga dikeluarkan dari timbunan runtuhan rumah susulan gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter yang menggegarkan Pulau Jawa, Indonesia pada Isnin

Antara mayat dikeluarkan adalah bayi dalam lingkungan bawah satu tahun serta mayat wanita dewasa berdasarkan keadaan rambutnya yang panjang.

Dalam perkembangan sama, Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil berkata, angka mangsa kanak-kanak gempa berlaku meningkat kerana ketika kejadian mereka sedang bersekolah.

Beliau turut mengesahkan 13,000 penduduk kini berlindung di pusat perlindungan sementara selepas kediaman mereka musnah.

Jelas beliau, jumlah kematian akan meningkat kerana masih ada tempat yang belum dimasuki pasukan penyelamat.

"Gempa berpusat di kedalaman 10 kilometer (km) dengan jarak juga 10 km dari kota Cianjur mengakibatkan banyak sekali bangunan runtuh," kata Ridwan.

Tambahnya, ketika ini 162 orang disahkan meninggal dunia, manakala 326 lagi cedera.

"Kebanyakan mereka mengalami tulang patah atau kecederaan lain.

"Terdapat juga kira-kira 13,784 penduduk sedang berlindung di pusat perlindungan sementara," katanya.

Bandar Cianjur didiami sekitar 175,000 penduduk sementara daerah itu menempatkan 2.5 juta orang di mana sebahagiannya tinggal di kediaman setingkat dan dua tingkat.

Menurut Badan Pengurusan Bencana Nasional Indonesia, banyak infrastruktur termasuk sekolah, hospital dan pejabat pentadbiran turut terjejas. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

gempa Jawa Barat, mayat, bayi, Indonesia, runtuhan