WANITA di Afghanistan kini boleh bergerak aktif apabila pihak Taliban akan merangka garis panduan baharu untuk membenarkan golongan itu terlibat dengan aktiviti kemanusiaan.
Ketua Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Martin Griffiths berkongsi perkara itu, selepas menerima maklum balas daripada menteri-menteri Taliban susulan rundingan yang diadakan di Kabul pada minggu lalu.
"Golongan itu memainkan peranan penting dalam menyampaikan bantuan, meskipun terdapat kebimbangan penyertaan mereka membahayakan operasi kemanusiaan, namun ia mampu menyelamatkan lebih ramai nyawa di negara ini.
"Langkah ini akan memudahkan pasukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memandangkan banyak program kemanusiaan akan diadakan sepanjang tahun ini," katanya.
Griffiths berkata, pelbagai agensi berkaitan akan menyediakan aktiviti kemanusiaan bagi membantu 28 juta rakyat atau separuh daripada populasi penduduk di negara ini berikutan keadaan musim sejuk melampau.
Malah, sejak dua minggu lalu, lebih 126 rakyat dilaporkan terkorban akibat kesejukan melampau, rebah akibat hipotermia serta kesan asap toksik daripada bahan pemanas.
Namun, tiada bantuan disalurkan oleh pihak NGO yang terlibat dalam aktiviti kemanusiaan berikutan tiada agihan yang secukup dilakukan.
Qamal Gul mengakui tidak pernah menerima bantuan dan terpaksa berdepan musim sejuk bersendirian.
Sementara itu, seorang wanita warga emas, Qamal Gul di wilayah pedalaman di Parwan, meluahkan kesedihan akibat terpaksa meneruskan kehidupan ketika musim sejuk dalam keadaan sukar.
Lebih menyedihkan, Qamal mengakui dirinya tidak menerima bantuan dan terpaksa berdepan musim sejuk bersendirian dengan menggunakan alat pemanas arang tradisional di rumahnya.
"Tiada agensi bantuan yang melawat kami di sini malah pihak kerajaan juga sudah melupakan kami dan tidak melihat kesusahan kami," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram