[VIDEO] 'Macam main divisyen 3', arkitek tengah Afghanistan bikin fans TRW tak keruan


  • Podium
  • Isnin, 26 Dis 2022

Omid berperanan sebagai arkitek tengah dari kelab divisyen satu liga Bangladesh Chittagong Abahani. — Agensi

BARU-BARU ini, Kelantan FC mengumumkan seramai lima pemain disahkan tidak berada dalam perancangan pengurusan skuad The Red Warrios (TRW) bagi menghadapi kempen Liga Malaysia 2023.

Menerusi perkongsian di laman rasmi media sosial kelab berkenaan, lima pemain tersebut ialah bekas pertahanan kiri skuad kebangsaan, Zubir Azmi, Adam Nadzmi, Adam Malique serta dua penjaga gol iaitu Muhammad Asfa dan Amin Faisal.

Jika dicampur dengan penyingkiran tiga pemain import iaitu Nixon Gulyherme, Kenta Hara dan Felipe Herda, skuad TRW menggugurkan seramai lapan tonggak musim ini.

Pengumuman tersebut sedikit sebanyak mengecewakan penyokong kerana ada di antara pemain tersebut merupakan watak utama yang membawa Kelantan berjaya menjulang naib juara Liga Perdana 2022.

Kekecewaan itu tidak ditanggung lama oleh barisan penyokong berikutan kelab berpangkalan di Pantai Timur itu turut mengumumkan beberapa pemain yang masih kekal menabur bakti kepada pasukan Kelantan pada musim depan.

Antara pemain yang masih berada dalam perancangan skuad TRW ialah barisan pertahanan (Yusri Yuhasmadi, Syaqimi Rodzi, Arip Amiruddin, Ghaffar Rahman, Khairul Helmi), jenterang tengah (Fazrul Amir, Muhaimin Izuddin, Syahir Rashid, Ikhwan Yazek) dan penjaga gol, Nik Mohd Amin.

Selain berita pengumuman sembilan pemain tempatan itu, Kelantan juga dikatakan sedang rancak membawa masuk bintang import bagi bersama-sama memperkuatkan lagi skuad TRW bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2023.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan bahawa pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman mendedahkan pasukannya sudah menandatangani pemain dari Senegal untuk dipersiap dalam pasukan menjelang saingan Liga Super musim depan.

Terbaharu, pemain kebangsaan Afghanistan sedang berada dalam radar pasukan tersebut bagi mengisi sembilan slot kuota bintang import yang ditetapkan oleh pengelola liga Malaysia Football League (MFL).

Pemain yang dikatakan berada dalam senarai bintang import Kelantan pada musim depan ialah arkitek tengah dari kelab divisyen satu liga Bangladesh Chittagong Abahani, Omid Popalzay.

Pengalaman pemain berusia 26 tahun itu bermain buat pasukan kebangsaan Afghanistan itu menepati kriteria yang ditetapkan pemilik Kelantan iaitu menginginkan bintang import dengan kaps antarabangsa.

Bersama kelabnya, Chittagong Abahani, pemain berketinggian 1.7 meter itu berjaya mencetak lima gol dan enam hantaran bantuan jaringan dalam 20 perlawanan musim ini.

Selain pengalaman beraksi bersama kelab di Bangladesh, Omid juga sempat berkelana di Belgium, Austarlia dan memulakan karier sebagai pemain bola sepak profesional di Belanda.

Bagaimanapun, rumour mengenai perpindahan pemain itu ke Kelantan kurang mendapat sambutan oleh penyokong sehinggakan ada yang menyamakan Omid dengan tonggak import sebelum ini, Nixon.

Nixon menjadi pemain import yang kurang disukai oleh penyokong kerana gagal memberikan persembahan terbaik pada musim 2022.

"Serupa macam nak main divisyen tiga sahaja," kata penyokong TRW, Wajdi Mohamad yang menolak idea membawa masuk pemain itu.

"Macam Nixon sahaja," komen penyokong Kelantan, Adam Nazar Channel.

"Hahahaha, macam setaraf pemain tempatan Malaysia sahaja ini," kata penyokong skuad TRW, Abe Chik.

Jika benar Omid bakal menyarung jersi Kelantan, dia akan memberi kuota import kelab berkenaan bersama Kervens Fils Belfort serta Natanael Siringoringo yang sebelum ini dipinjamkan kepada pasukan Liga 1 Indonesia, Dewa United akan dipanggil semula. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram