HUJAN lebat dan banjir selain kekangan perkhidmatan komunikasi menghalang usaha menyampaikan bantuan kepada mangsa gempa bumi paling dahsyat di Afghanistan.
Gempa bumi bermagnitud 5.9 pada Rabu yang berlaku di kawasan timur bersempadan dengan Pakistan, membunuh lebih 1,000 orang dan menyebabkan beribu-ribu kehilangan tempat tinggal.
Terdapat kampung yang musnah sama sekali di mana mangsa yang terselamat berkata, mereka kini bergelut untuk mencari peralatan untuk mengebumikan mayat.
"Tiada selimut, khemah, tiada tempat perlindungan. Seluruh sistem pengagihan air kami musnah. Tiada apa-apa untuk dimakan," kata Zaitullah Ghurziwal, 21, kepada pasukan AFP yang tiba di kampungnya di wilayah Paktika yang terjejas teruk.
Mohammad Amin Huzaifa, ketua maklumat wilayah itu berkata, hujan lebat dan banjir menghalang usaha untuk sampai kepada penduduk yang terjejas.
Komunikasi juga terjejas apabila gempa itu merobohkan menara komunikasi dan talian elektrik.
Pegawai berkata hampir 10,000 rumah musnah, jumlah yang membimbangkan di kawasan di mana purata saiz isi rumah melebihi 20 orang.
"Tujuh ahli keluarga dalam satu bilik, lima dalam bilik lain, empat dalam bilik satu lagi, dan tiga lagi di bilik berasingan telah terbunuh dalam keluarga saya," kata Bibi Hawa kepada AFP dari katil hospital di ibu kota Paktika Sharan.
Save the Children berkata, lebih 118,000 kanak-kanak terjejas akibat bencana itu.
"Ramai kanak-kanak kini berkemungkinan besar tidak mempunyai air minuman bersih, makanan dan tempat tidur yang selamat," kata badan amal antarabangsa itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram