JERMAN pada Rabu mengumumkan bakal membekalkan kereta kebal ke Ukraine, manakala Amerika Syarikat (AS) dijangka bersedia untuk melakukan perkara sama.
Meskipun langkah tersebut mendapat pujian Ukraine, ia sebaliknya mendapat kecaman daripada seterunya, Rusia.
Kiev sudah berbulan-bulan memohon bantuan kereta kebal daripada negara Barat, sebagai usaha meningkatkan keupayaan tentera Ukraine dalam memenangi peperangan dengan Rusia.
Selain itu, kehadiran kereta kebal tersebut mampu menembusi barisan pertahanan Rusia serta berpotensi merebut kembali wilayah Ukraine yang diduduki iaitu Luhansk dan Donetsk.
Ketua Pejabat Presiden Volodymyr Zelenskyy, Andriy Yermak sebelum ini meminta sekutu Ukraine untuk membekalkan ratusan kereta kebal.
"Inilah yang akan menjadi 'serangan' terhadap demokrasi yang sebenar," tulisnya di laman Telegram.
Kereta kebal jenis Leopard 2 dan ciri-ciri yang terdapat pada kenderaan perang tersebut. — Agensi/Getty Images
Jerman yang sebelum ini berkata, negara itu akan membekalkan 14 kereta kebal Leopard 2 sebagai permulaan, selain akan meluluskan penghantaran kenderaan perang itu kepada negara Eropah lain.
Penghantaran pertama akan tiba dalam tempoh tiga atau empat bulan, dan ia juga akan menyediakan latihan, peluru serta penyelenggaraan.
"Keputusan ini bagi menyokong Ukraine dengan sebaik mungkin. Kami bertindak dengan cara diselaraskan di peringkat antarabangsa," kata Canselor Jerman, Olaf Scholz dalam satu kenyataan.
Keputusan Jerman itu membuka jalan kepada beberapa negara lain untuk mengikut jejak langkahnya dengan menggunakan kereta kebal yang sama.
Sepanyol dan Belanda berkata, mereka juga boleh menghantar Leopards manakala Norway dilapor sedang mempertimbangkan perkara tersebut.
Pada masa sama, Finland berjanji untuk menghantar kereta kebal itu sebaik sahaja mendapat kelulusan Jerman.
Sementara itu, Britain menawarkan sebuah syarikat untuk membekalkan 14 kereta kebal jenis Challengers, manakala Perancis sedang mempertimbangkan untuk menghantar kereta kebal jenis Leclerscs. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram