
SIASATAN lanjut sedang dijalankan bagi memastikan keaslian video tular memaparkan sepasang individu dipercayai warga Rusia yang didakwa menceroboh Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, pihaknya akan merujuk video berkenaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.
"Kita sedang bekerjasama dengan SKMM mengenai kesahihan dan ketulenan rakaman video yang ditularkan menerusi laman web 'Sky Scraper City Forum.
"Kita juga sedang dapatkan pengesahan daripada Imigresen berhubung rekod keluar masuk suspek berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa bercakap kepada media ketika ditemui di lokasi Op Khas Malam Ambang Tahun Baru 2023, di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur awal pagi Ahad.
Yahaya berkata, setakat ini pihaknya hanya menerima satu laporan daripada pihak pengurusan menara berkenaan selepas video terbabit tular.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan klip video dan gambar yang dimuat naik pasangan berkenaan telah disunting secara digital.
"Berdasarkan siasatan awal, pihak pengurusan Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyatakan bahawa sistem kawalan ketat yang dibuat di seluruh kawasan menara itu menyukarkan pihak tidak berkenaan untuk masuk sekali gus memanjat menara berkenaan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram