[VIDEO] Berang cinta diduakan, wanita tikam 27 kali kekasih teman lelaki dalam bilik air


  • Benua
  • Khamis, 24 Nov 2022

Suspek (duduk) ditahan oleh pengawal keselamatan pusat beli-belah sebelum diserahkan kepada pihak polis. — Agensi

SEORANG wanita nekad menikam perempuan simpanan teman lelakinya sehingga mati di dalam bilik air sebuah pusat beli-belah di Bangkok, Thailand.

Dalam kejadian pada Rabu di Urban Square Shopping Centre itu, wanita berkenaan bertindak menikam mangsa secara bertubi-tubi sebanyak 27 kali.

Polis menemui mayat Xiong Ziyi, 34, dalam keadaan tertiarap di dalam bilik air wanita dengan 27 kesan luka di badannya.

Pihak berkuasa turut menemui sebilah pisau pengupas buah sepanjang 15 sentimeter yang berlumuran darah di sebelah mayat mangsa.

Suspek dikenali sebagai Tang Jun, 36, ditahan oleh pengawal keselamatan di lokasi kejadian untuk diserahkan kepada kepada polis.

benua bunuh

Tang Jun melakukan pembunuhan di dalam bilik air sebuah pusat beli-belah di Bangkok. — Agensi

Seorang saksi, Malun Kaenkaew, 55, berkata, kedua-dua wanita warga China itu dilihat makan bersama sebelum kejadian.

Menurutnya, mereka kemudian bertengkar yang menyaksikan Tang Jun menghunus pisau ke perut mangsa sebelum menyeret wanita malang itu ke bilik air.

Pengawal keselamatan, Phatrawut Sangthawee, 28, pula memberitahu, Tang Jun masih menikam Xiong Ziyi ketika dia memasuki bilik air berkenaan.

Dia memisahkan mereka dan merampas pisau daripada Tang Jun, dan mangsa didapati dalam keadaan tidak bernyawa.

Menurut laporan TheThaiger.com, suspek mendakwa mangsa mempunyai hubungan sulit dengan teman lelakinya, seorang warga Rusia.

Siasatan polis mendapati suspek memasuki Thailand menggunakan visa pelancong dan tinggal melebihi masa.

Superintendan Marutsood Nongbua berkata, suspek mengenali teman lelakinya menerusi aplikasi WeChat dan mengupah mangsa sebagai penterjemah bagi membantu komunikasi dengan lelaki berkenaan.

Bagaimanapun, Tang Jun kemudian mendapati mereka menjalinkan hubungan sulit dan memberi amaran supaya mangsa menjauhi kekasihnya itu.

316089225_519467120225801_9084373022059473097_n

Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian. — Agensi

Mangsa dikatakan mengugut untuk menyebar video dan gambar bogel suspek di WeChat yang mengakibatkan wanita itu semakin marah.

Tang Jun dipercayai mengatur satu pertemuan dengan Xiong Ziyi di sebuah restoran di Urban Square Shopping Centre kononnya bagi menjernihkan keadaan.

Begitupun, polis percaya suspek merancang pembunuhan berkenaan kerana dia membawa pisau bersamanya ke restoran tersebut sebelum membunuh mangsa.

Polis berkata, pihaknya akan memohon perintah tahanan ke atas suspek daripada Mahkamah Jenayah Ratchada bagi mengelakkan dia melarikan diri dengan pulang ke negara asal. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram