MANUSIA tidak berhati perut. Mungkin itulah perumpamaan sesuai untuk diungkapkan kepada beberapa remaja perempuan selepas membuli rakan sekolah mereka hingga pelajar malang itu berisiko mengalami lumpuh.
Kejadian itu berlaku di Sumatera Selatan, Indonesia.
Mangsa yang bersekolah di kelas 1 Sekolah Menengah Negeri 2 Desa Talang Benteng Kecamatan Muara Pinang mengalami kecederaan parah selepas dibuli dan dipukul oleh dua pelajar lain dari sekolah yang sama.
Menerusi video tular berdurasi 53 saat memaparkan seorang remaja perempuan dipukul dan dibuli oleh pelajar lain.
Lebih menyakitkan hati, kedua-dua pembuli tersebut terus memukul, menendang dan menarik rambut mangsa walaupun dia merayu supaya pelaku menghentikan perbuatan mereka.
Difahamkan kejadian itu dirakam oleh salah seorang daripada rakan pembuli berkenaan yang turut berada di lokasi kejadian.
Setakat ini, memetik laporan media antarabangsa sumsel.update, mangsa mengalami kecederaan serius dan hanya terbaring di atas katil.
Mangsa berisiko untuk mengalami kelumpuhan akibat tahap kecederaan yang dialaminya.
Dalam perkembangan lain, ayah saudara mangsa, Heriyadi berkata, pihaknya sudah melaporkan perkara tersebut kepada polis.
"Kami harap pihak polis menyiasat kejadian buli tersebut dan semoga suspek mendapat hukuman setimpal," katanya ketika ditemui wartawan di Balai Polis Empat Lawang.
Sementara itu, Ketua Perhubungan Awam Polis Empat Lawang, Hidayat mengesahkan sudah menerima laporan daripada keluarga mangsa.
"Pihak kami sudah menerima laporan daripada keluarga mangsa. Kes tersebut kini dalam siasatan polis," katanya tanpa mengulas lanjut motif sebenar kejadian. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram