CUBAAN seorang lelaki untuk melakukan rompakan gagal, apabila dia maut ditembak oleh seorang pelanggan di sebuah restoran.
Tembakan berlaku di restoran Ranchito Taqueria dekat Houston, Amerika Syarikat (AS) kira-kira pukul 11.30 malam Khamis.
Dalam kejadian tersebut, lelaki yang bertopeng itu pada mulanya mengacukan pistol ke arah pelanggan yang berada di dalam restoran itu dan meminta wang serta dompet mereka, kata Jabatan Polis Houston.
Para pelanggan yang ketakutan dengan ugutan itu dilihat bersembunyi di bawah meja, ketika lelaki berpakaian serba hitam itu merampas barang-barang mereka yang sebahagiannya dicampakkan ke atas lantai.
Ketika lelaki itu menuju ke pintu keluar, seorang pelanggan botak yang sedang duduk di sebuah meja makan tiba-tiba berdiri, sebelum melepaskan tembakan ke arah perompak tersebut menggunakan sepucuk pistol miliknya.
Pelangggan itu kemudian dilihat melakukan empat das tembakan di belakang badan perompak terbabit sebelum dia rebah ke atas lantai.
Perompak itu sekali lagi ditembak apabila pelanggan terbabit berdiri berhampirannya.
Pelanggan tersebut kemudian mengutip wang yang dirompak lelaki itu, sebelum memulangkannya kepada pelanggan lain.
Mereka yang berada di dalam restoran itu kemudian melarikan diri dari restoran berkenaan.
Polis mengesahkan perompak terbabit meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiada pertuduhan difailkan terhadap pelanggan yang menembaknya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram