[VIDEO] Pelumba kereta drag maut langgar menara kamera


  • Benua
  • Isnin, 09 Jan 2023

Fenech meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah. — Agensi

SEORANG pemandu perlumbaan drag di Australia maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan dan merempuh menara kamera pada Sabtu lalu.

Mangsa, Sam Fenech, 55 tahun meninggal dunia di tempat kejadian ketika acara berlangsung di Willowbank Raceway di Ipswich.

Kejadian malang itu berlaku ketika acara perlumbaan drag Nitro Tahun Baharu Willowbank berlangsung.

Sementara itu, Top Fuel Racing Australia dalam satu kenyataan di media sosial turut mengumumkan kematian pemandu profesional kereta drag berkenaan.

"Dengan dukacita, Top Fuel Racing Australia mengumumkan bahawa Sam Fenech, pemandu Fabietti Racing Doorslammer meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialami dalam kemalangan perlumbaan di Willowbank Raceway. Sam meninggal dunia petang ini (Sabtu).

“Kami memberi sokongan kami kepada keluarga Fenech dan seluruh pasukan di Fabietti Racing,” tulisnya.

Dalam perkembangan lain, jurucakap polis Queensland berkata, seorang jurukamera yang bertugas di menara tersebut dikejarkan ke hospital pada pukul 7 malam (waktu tempatan).

"Mangsa yang terselamat berada keadaan stabil," katanya.

Setakat berita ini ditulis, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan dan mencari punca kemalangan itu berlaku. Orang ramai juga tidak dibenarkan berada di tapak litar tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram