[VIDEO] Berang enggan bonceng motor bersama, wanita parah dihempuk helmet


  • Benua
  • Ahad, 08 Jan 2023

Tangkap layar video kejadian di Haryana, India itu yang dirakam CCTV.

SEORANG wanita berdepan nasib malang apabila cedera parah selepas dipukul seorang lelaki baru-baru ini.

Menerusi video tular, wanita itu pada mulanya keluar dari sebuah beca sebelum disapa suspek yang sedang membawa motosikal.

Suspek kemudian turun dari kenderaannya, sebelum berlaku pertengkaran antara kedua-dua individu.

Tidak dapat menahan amarah, suspek dilihat memukul wanita tersebut menggunakan topi keledar keselamatan miliknya.

Tidak juga mahu mengaku kalah, wanita itu kemudian memukul semula suspek menggunakan beg tangannya.

Suspek yang melakukan cubaan menculik dilihat melarikan diri selepas kembali diserang pemandu beca dan orang awam.

Kejadian yang berlaku di Haryana, India itu dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang berhampiran.

Selepas kejadian itu, wanita tersebut dikejarkan ke hospital berdekatan.

Pegawai polis Gurugram, Asisten Komisioner Manoj Kumar berkata, suspek yang dikenali sebagai Kamal berang selepas mangsa enggan menunggang motosikal bersamanya.

"Kami sedang melakukan siasatan berhubung kejadian itu," katanya.

Katanya, kes itu berlaku selepas beberapa hari seorang wanita di Yamungar terselamat daripada diculik. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram