[VIDEO] Hancurkan Honda Civic, polis Miri tahan 6 lelaki terlibat pergaduhan


  • Tular
  • Isnin, 09 Jan 2023

Tangkap layar kejadian seorang lelaki memecahkan cermin Honda Civic di Miri, Sarawak.

BEBERAPA rakaman video mengenai kejadian pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Miri, Sarawak tular sejak awal pagi Isnin.

Kejadian itu dipercayai berlaku di Bintang Megamall baru-baru ini dan rakaman video tersebut dimuat naik semula seorang individu ke dalam satu laman Facebook yang dikenali sebagai We Are Malaysian.

Dalam video tersebut memaparkan seorang lelaki tidak berbaju memecahkan cermin depan sebuah kereta jenis Honda Civic berwarna putih menggunakan kayu besbol.

Seorang lagi rakannya turut dilihat menendang pintu kereta tersebut.

Dalam video berasingan, turut kelihatan beberapa orang wanita dilihat cuba mententeramkan seorang lelaki yang berada di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu mengesahkan kejadian tersebut dan enam lelaki ditahan polis pada Ahad bagi membantu siasatan kes pergaduhan berkenaan.

Katanya, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 11 pagi Ahad.

“Sehubungan itu, kesemua suspek yang merupakan rakyat tempatan berbangsa Cina dalam lingkungan umur 19 hingga 34 tahun ditahan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Jelas beliau lagi, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dengan senjata.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat,” jelas beliau.

Pada masa sama, Alexson Naga menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kejadian itu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke Balai Polis Miri Pusat untuk membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Sub Inspektor Ramping Jimbai di talian 085- 433222,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram