BERIKUTAN tindakan kerajaan China memperketatkan semula kawalan terhadap penularan wabak Covid-19, pelbagai rakaman mengejutkan mula berlegar di media sosial.
Baru-baru ini, tular satu video ringkas menunjukkan seorang wanita berusia 31 tahun menghadapi kesukaran untuk bernafas kerana tidak diberikan bantuan kecemasan.
Rakaman yang difahamkan dibuat di Bandar Nanchong, Sichuan itu menunjukkan individu tersebut terduduk di luar pekarangan hospital dalam keadaan kesihatan yang tidak baik.
Laporan awal menyebut fasiliti kesihatan itu enggan memberi rawatan kesihatan kepadanya kerana bimbang penyebaran virus dan jangkitan terhadap petugas serta pesakit.
Lebih teruk lagi, video berdurasi 1 minit 35 saat itu menunjukkan seorang staf lengkap memakai kelengkapan pelindung diri (PPE), namun seakan-akan tidak mengendahkan kehadiran wanita terbabit.
Selepas hampir beberapa saat menghadapi kesukaran untuk bernafas, wanita itu menjerit meminta bantuan sebelum rebah dan terbaring di kawasan pejalan kaki hospital berkenaan.
Orang ramai yang berada di lokasi itu dilihat cuba untuk memberi bantuan, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya melihat wanita itu dalam keadaan longlai sendirian.
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan hospital tersebut, wanita berkenaan difahamkan mengalami miokarditis yang berpunca daripada radang sekitar jantung dan paru-paru.
Di samping itu, dilaporkan mangsa mengalami demam panas beberapa hari, namun tidak diberikan rawatan oleh fasiliti tersebut akibat gusar dengan jangkitan Covid-19. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram