[VIDEO] Pesakit Covid-19 degil berpaut pada sofa, pegawai perubatan terpaksa heret ke pusat kuarantin


  • Benua
  • Isnin, 05 Dis 2022

Dua anggota pihak berkuasa sedang memaksa seorang lelaki di dalam rumahnya yang enggan pergi ke sebuah pusat kuarantin di Hangzhou, China baru-baru ini. — Agensi

SATU rakaman video memaparkan situasi seorang lelaki sedang bergelut dengan beberapa anggota pihak berkuasa China yang memakai sut Hazmat selepas dia enggan berpindah ke sebuah pusat kuarantin, lapor portal berita MailOnline pada Ahad.

Lelaki itu kemudian diheret secara kasar dari sofa di rumahnya di Hangzhou, ibu kota wilayah Zhejiang di timur China, ketika berbaring dan berselimut kerana dipercayai menghidapi Covid-19.

Kedua-dua anggota pihak berkuasa itu menjerit kepada lelaki berkenaan: “Pakai pelitup muka!” arahan mengingatkan dia memakai pelitup muka walaupun berada di dalam rumahnya sendiri dan tidak menimbulkan risiko kesihatan kepada orang lain.

Dia juga berpaut di sofa dan tidak mahu diseret serta dibawa ke kemudahan kuarantin.

“Jangan tolak saya. Adakah anda gila?” soal lelaki tersebut yang tidak mahu mengikut anggota pihak berkuasa tersebut.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak berkuasa itu berjaya menarik lelaki itu bangun dari sofa dengan memeluknya dan memaksanya mengalah sebelum dihantar ke pusat kurantin.

Wanita yang merakam insiden itu kemudian merayu kepada pihak berkuasa supaya tidak bertindak terlalu ganas.

Namun, setakat ini, masih tidak diketahui di mana lelaki itu ditempatkan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram