Jho Low 2.0 akan dihantar ke China, lapor polis Thailand


  • 112
  • Ahad, 04 Dis 2022

Teow Wooi Huat dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM160,000 atas dua pertuduhan menipu lebih RM1 juta.

PENOLONG Ketua Polis Thailand, Lt Jen Surachate Hakparn berkata, ahli perniagaan Malaysia dalam buruan, Teow Wooi Huat dijangka dihantar ke China sebelum akhir Disember.

Meskipun polis Malaysia sebelum ini meminta Teow dihantar pulang, Surachate berkata, tiada waran tangkap dikeluarkan terhadap Teow dari pihak Malaysia, sebaliknya polis Thailand sudah menerima permintaan ekstradisi daripada kerajaan China.

"Kami berusaha (ekstradisi Teow) selama lebih sebulan. Kami mengemukakan permintaan kepada Peguam Negara. Sebaik selesai, Teow akan dihantar pulang ke China sebelum akhir tahun ini,” katanya kepada Bernama pada Ahad.

Usahawan kelahiran Pulau Pinang berusia 55 tahun itu digelar Jho Low 2.0, merujuk kepada seorang lagi ahli perniagaan yang diburu Malaysia, Low Taek Jho yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, berada dalam senarai Notis Merah Interpol untuk disoal siasat.

22 Julai lalu, Teow yang juga merupakan pengasas Kumpulan MBI ditahan Polis Imigresen Thailand selepas visanya dibatalkan dan sejak itu, dia menunggu pengusiran pihak berkuasa Thailand.

Kedua-dua kerajaan Malaysia dan China sehingga kini memburu Teow dengan China difahamkan merupakan negara pertama yang meminta Teow diekstradisi.

Polis Beijing juga dilaporkan mahu dia disoal siasat berikutan saman yang difailkan kira-kira 400 pelabur dari China untuk mendapatkan semula pelaburan bernilai hampir RM100 juta.

Selain itu, 25 Julai lepas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan pasukan itu dalam proses memohon Teow dihantar pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Teow menjadi tajuk utama di Thailand apabila pada 2011, dia dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM160,000 atas dua pertuduhan menipu lebih RM1 juta dalam skim pelaburan, Island Red Café.

Pada 2017, pihak berkuasa Malaysia bertindak membekukan sejumlah 91 akaun bank dengan RM177 juta yang dikaitkan dengan MBI International.

Pada 2019 pula, ratusan warga China mengadakan bantahan secara aman di luar Kedutaan China di Kuala Lumpur mendakwa mereka ditipu skim piramid dalam talian yang dikendalikan MBI.

Tahun lepas, polis berkata Teow dan dua anak lelakinya terlibat dalam skim penipuan Macau melibatkan RM336 juta namun, polis percaya Teow telah melarikan diri ke negara itu dan bersembunyi di Dannok, Sadao, selatan Thailand. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram