[VIDEO] 'Dah macam beratur mengundi', kambing biri-biri tawaf ikut arah jam selama 12 hari tanpa henti


  • Benua
  • Sabtu, 19 Nov 2022

Tangkap layar video memaparkan sekumpulan kambing biri-biri berjalan mengelilingi bulatan ikut arah jam.

TIADA apa lebih menakjubkan berbanding kuasa ALLAH SWT, yang mampu menjadikan setiap makhluk untuk berzikir dan bersujud kepadaNya.

Amalan tersebut selalunya dilakukan menerusi pelbagai kaedah antara lain ketika menunaikan solat, haji dan aktiviti santai.

Ketika menunaikan ibadat haji, umat Islam perlu melakukan tawaf di sekeliling kaabah, Makkah mengikut arah lawan jam.

Menariknya, perkara itu bukan sahaja menjadi amalan manusia, malah haiwan juga tidak terkecuali.

Menerusi video tular, puluhan ekor kambing biri-biri dilihat seolah-olah melakukan tawaf dengan berjalan dalam bulatan.

Namun, aktiviti tawaf itu dilakukan mengikut arah jam dalam kejadian di sebuah ladang di Mongolia.

Ia berlangsung selama 12 hari berturut-turut tanpa henti.

Media antarabangsa melaporkan bahawa, kambing biri-biri tersebut berada dalam keadaan sihat, manakala punca kelakuan itu masih menjadi tanda-tanya.

Pemilik haiwan tersebut yang dikenali sebagai Miao berkata, aksi tersebut bermula apabila hanya beberapa ekor kambing yang melakukannya.

Aksi itu kemudian disertai oleh keseluruhan haiwan peliharaan tersebut.

Walaupun terdapat 34 kandang kambing biri-biri di ladangnya, hanya kumpulan yang berada di salah satu kandang yang melakukan tawaf itu.

Difahamkan, kumpulan haiwan terbabit sudah melakukan aktiviti itu sejak 4 November, manakala masih belum dapat dipastikan sama ada kambing-kambing itu sudah berhenti untuk makan atau minum sepanjang tawaf.

Sementara itu, terdapat pihak yang membuat spekulasi bahawa tingkah laku haiwan tersebut mungkin disebabkan penyakit bakteria yang dipanggil Listeriosis - juga dikenali sebagai 'circling disease'.

Ada juga netizen tempatan yang menyaksikan video berkenaan membuat komen lucu berhubung video tersebut menjelang tarikh mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu.

"Dah macam beratur mengundi," tulis netizen.

Menurut kajian, haiwan yang terjejas dianggap tertekan dan keliru, sebelum tertarik untuk bersandar pada objek pegun atau berjalan melalui bulatan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram