[VIDEO] Penduduk China memberontak, bantah polisi 'Zero Covid-19'


  • Benua
  • Selasa, 15 Nov 2022

Tangkap layar menunjukkan rusuhan berlaku dalam kalangan penduduk di Guangzhou, China.

RUSUHAN dilaporkan berlaku dalam kalangan penduduk di Guangzhou, China susulan kes Covid-19 yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Menerusi video tular di media sosial, ratusan penduduk dilihat berarak di jalan raya dan merempuh sekatan polis di daerah Haizhu, Guangzhou.

Difahamkan, insiden itu berlaku selepas penduduk mula berang dengan tempoh tiga tahun sekatan yang dijalankan semasa polisi 'Zero Covid-19' yang tidak menunjukkan sebarang pengurangan kes wabak tersebut.

Kekurangan makanan dan kesukaran mendapatkan rawatan perubatan tepat pada masanya merupakan antara aduan terbesar yang dikemukakan oleh penduduk yang terkurung di rumah.

Terbaharu, jangkitan wabak itu kian meningkat kepada 5,124 kes di dua daerah iaitu Panyu dan Liwan pada Isnin.

Huang Kunming, ketua Parti Komunis Guangdong mengarahkan pegawai untuk menghapuskan virus jangkitan itu secepat mungkin.

Untuk rekod, China melaporkan lebih 17,000 kes baharu Covid-19 sekali gus menjadikan ia jumlah tertinggi dicatatkan sejak April.

Meskipun Guangzhou menyumbang sebahagian besar jumlah tersebut, bandar Chongqing juga telah menunjukkan peningkatan sebanyak 2,948 kes.

Namun, kerajaan China dilaporkan masih mengekalkan peraturan yang sama di sebalik kes jangkitan semakin meningkat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram