[VIDEO] Demi sesuap nasi, lelaki bergadai nyawa junjung motosikal naik ke atas bas


  • Benua
  • Sabtu, 26 Nov 2022

Tangkap layar video memaparkan kekuatan seorang lelaki yang menjunjung motosikal untuk dibawa naik ke atas bas.

DEMI mencari sesuap nasi, kudrat yang kuat adakalanya sangat diperlukan seseorang meskipun terpaksa membahayakan nyawa sendiri.

Baru-baru ini, tular sebuah video memaparkan seorang pekerja lelaki menjunjung sebuah motosikal di atas kepalanya.

Dalam video itu, lelaki berkenaan pada mulanya dilihat menjunjung kenderaan tersebut dan berjalan menghampiri sebuah bas.

Pada masa sama, kekuatannya diuji apabila dia dilihat menaiki tangga bas itu untuk meletakkan motosikal berkenaan di atas kenderaan awam tersebut.

Menurut laporan media antarabangsa, lelaki itu berjaya membawa naik kenderaan dua roda berkenaan ke atas bas tersebut.

Difahamkan, lelaki tersebut bertugas untuk mengangkat barangan berat yang perlu diletakkan di atas bas.

Aksi lelaki itu diperhatikan oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian, yang rata-ratanya kagum dengan kekuatan luar biasanya sama seperti seorang 'superhero'.

Namun, apa yang membimbangkan orang ramai adalah keadaan tangga bas itu didapati rapuh dan dikhuathiri lelaki tersebut akan terjatuh ketika memanjatnya.

Selain itu, orang ramai turut menyuarakan kebimbangan tentang bahaya menjunjung barangan berat di atas kepala, yang berisiko besar membawa kepada kecederaan.

Masa dan lokasi sebenar kejadian masih belum diketahui, namun ia dipercayai berlaku di India.

Sejak video itu dikongsi di laman Twitter pada Jumaat, ia mengumpul lebih 96,000 tontonan dan mendapat lebih 5,000 tanda suka (likes). — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram