[VIDEO] Aksi unik Senegal 'warm-up' petanda wakil Afrika bakal julang Piala Dunia 2022


  • Podium
  • Sabtu, 26 Nov 2022

Pemain Senegal, Famara Diedhiou meraikan selepas menjaringkan gol kedua pasukannya semasa perlawanan bola sepak Piala Dunia kumpulan A antara Qatar dan Senegal, di Stadium Al Thumama, Doha, Qatar pada Jumaat.

PENGENDALI Senegal, Aliou Cisse yakin pasukan dari Afrika bukan sahaja boleh melangkah jauh dalam saingan Piala Dunia 2022, malah boleh memenangi kejohanan tersebut.

Senegal menewaskan tuan rumah Qatar 3-1 pada perlawanan Jumaat lalu sekali gus meraih mata pertama mereka dalam kumpulan A.

Pemenang Piala Negara-Negara Afrika tersebut kehilangan pemain bintang, Sadio Mane akibat kecederaan sebelum permulaan Piala Dunia.

Mereka juga tewas pada perlawanan pembukaan menentang Belanda 0-2 pada Selasa lalu.

Tetapi Cisse percaya pasukannya, serta pasukan Afrika lain perlu memiliki keyakinan bahawa mereka mampu mencabar negara-negara pilihan kejohanan.

Keyakinan itu dibuktikan dengan kemenangan mengejut Jepun ke atas Jerman serta kejayaan Arab Saudi memalukan Argentina pada perlawanan pembukaan masing-masing.

"Piala Dunia kali ini penuh dengan kejutan. Kita semua dapat saksikan bagaimana pasukan kerdil menjatuhkan pasukan gergasi.

"Jepun tewaskan Jerman, Aran tewaskan Argentina. Tiada apa yang mustahil. Kesemua pasukan bertanding layak untuk bertanding.

"Tak seperti 30 tahun yang mana kami pasti menjadi 'lauk' kepada pasukan-pasukan besar. Saya yakin kejohanan kali ini penuh kejutan.

"Saya yakin pasukan Afrika boleh memenangi Piala Dunia dan saya harap pasukan itu adalah Senegal," katanya.

Dengan kemenangan mereka ke atas Qatar, Senegal menjadi negara Afrika pertama mengalahkan pasukan tuan rumah dalam Piala Dunia.

Selepas tewas kepada Belanda, Cisse mengarahkan penyerang pasukan tersebut, Boulaye Dia untuk memperbaiki permainannya dan perkara itu diterjemah dengan baik oleh pemain tersebut pada perlawanan menentang Qatar.

"Kami tidak bagus ketika menentang Belanda. Kami mempunyai banyak peluang menjaringkan gol, kami sepatutnya memanfaatkannya.

"Kami perlu sampai ke depan pintu gawang dan cipta peluang tersebut.

"Kami semua sangat gembira, semua penyerang dapat menjaringkan gol pada perlawanan menentang Qatar!" katanya.

Selain Senegal, pasukan Afrika lain yang bersaing dalam Piala Dunia 2022 adalah Cameroon, Ghana, Morocco dan Tunisia.

Terdahulu, tular aksi pemain Senegal melakukan aksi 'warm-up' yang unik apabila kesemua mereka seperti menari-nari ketika memanaskan badan.

Gaya mereka itu menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi, sekali gus penyokong tidak menolak kemungkinan pasukan dari Afrika mampu menjulang piala berprestij itu buat pertama kalinya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram