Menjelang final Piala Malaysia, imbas kembali 5 kontroversi panas JDT-Selangor


  • Podium
  • Sabtu, 26 Nov 2022

Persoalan sama ada trofi Piala Malaysia menjadi milik JDT ataupun Selangor bakal terjawab di Bukit Jalil. — Facebook/JDT

KURANG 24 jam lagi sebelum perlawanan akhir kejohanan Piala Malaysia menemui penyokong bola sepak tanah air dan venue Stadium Nasional Bukit Jalil bakal menjadi saksi sama ada Johor Darul Takzim (JDT) ataupun Selangor FC merangkul kejuraan berkenaan.

Selepas menjulang Piala FA dan Liga Super, JDT hanya perlu berjuang habis-habisan untuk memenangi trofi Piala Malaysia bagi mencipta kejayaan treble pertama mereka.

Bagaimanapun berbeza buat Selangor FC yang turun dengan misi mahu menamatkan penantian tujuh tahun, sekali gus merangkul gelaran itu buat kali ke-34.

Mana tidaknya kali terakhir skuad The Red Giant merangkul trofi kejohanan tertua di rantau Asia itu adalah pada 2015 yang mana mereka menumpaskan pasukan Kedah 2-0.

Dengan matlamat berbeza-beza, pastinya kedua pasukan berpengaruh di Malaysia ini akan memberikan segala kudrat bagi memastikan Piala Malaysia edisi ke-101 menjadi milik mereka.

Bagaimanapun, di sebalik debaran menanti perlawanan pada Sabtu ini, Majoriti menyenaraikan terlebih dahulu lima kontroversi melibatkan kedua-dua pasukan gergasi Liga Malaysia itu:

1) Azrif Nasrulhaq bergaduh dengan Syafiq Rahim (2015)

Screenshot 2022-11-25 at 8.37.43 PM

Tangkap layar pergaduhan antara Safiq dan Azrif. — Youtube

Pergaduhan antara kedua-dua pemain itu berlaku sewaktu perlawanan saingan Liga Super pada 2015 antara pasukan Selangor dan skuad Harimau Selatan.

Kontroversi bermula apabila Azrif Nasrulhaq yang pada ketika itu bermain bersama Selangor FC bertindak untuk memukul kepala Safiq Rahim pada minit ke-32.

Selepas kekasaran yang dilakukan pemain berusia 31 tahun itu, Syafiq terus sahaja menyerang Azrif sebelum masing-masing ditenangkan oleh pengadil dan rakan sepasukan.

Susulan insiden berkenaan, Syafiq yang pada ketika itu memakai lilitan kapten diberikan kad kuning oleh pengadil yang bertugas.

2) Ifedayo melakukan provokasi (2019)

Screenshot 2022-11-25 at 8.36.17 PM

Tangkap layar Ifedayo memuat naik video berkenaan. — Twitter

Pada 2019 sebelum perlawanan kedua separuh akhir Selangor menentang JDT, penyerang berbisa Gergasi Merah ketika itu, Ifedayo Olusegun melakukan provokasi berbentuk video.

You call yorself the King of Malaysia? You come Shah Alam,” laung pemain tersebut dalam sebuah video yang dimuatnaik oleh platform media Selangor.

Video berkenaan dilakukan selepas Selangor tewas 1-2 di tangan JDT pada pusingan separuh akhir pertama di Larkin.

Bagaimanapun laungan Ifedayo pada video itu tidak menakutkan JDT apabila skuad Harimau Selatan berjaya menewaskan the Red Giants 5-1 secara agregat.

3) TMJ usik Shahrul Nazeem (2021)

Screenshot 2022-11-25 at 8.33.36 PM

Tangkap layar Insta Story TMJ yang mengusik Shahrul. — Youtube

Tonggak pertahanan Selangor FC, Shahrul Nazeem menjadi topik hangat pada 2021 apabila dia berjaya mengawal penyerang berbisa, Bergson Da Silva daripada melakukan sebarang jaringan pada satu aksi Liga Super musim itu.

Keesokan harinya, pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik gambar serta beberapa emoji seperti memerli perwatakan Shahrul ataupun lebih mesra dengan panggilan ‘Afro’ sewaktu meraihkan gol.

Tindakan TMJ itu dipercayai kerana gaya meraikan gol Shahrul sewaktu perlawanan menentang JDT.

4) Perang psikologi JDT-Selangor (2022)

Sekitar Jun lalu, heboh perang psikologi antara penyokong JDT dan Selangor FC ketika saingan Liga Super berlangsung.

Sebelum perlawanan pertama saingan Liga Super antara kedua pasukan berlangsung di Stadium Larkin, Johor, penyokong Gergasi Merah berasa risau akan tahap keselamatan mereka.

Bukan sahaja keselamatan fizikal, kebimbangan terhadap kereta kerana dikatakan ada segelintirnya sanggup bertindak merosakkan kenderaan penyokong pasukan lawan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan perlawanan sekiranya kalah.

Bagaimanapun kenyataan dari penyokong Selangor di Facebook itu disangkal oleh beberapa peminat JDT yang mengatakan mereka tidak mengamalkan sikap provokasi.

5) CEO Selangor marah pengadil beri penalti kepada JDT (2022)

Screenshot 2022-11-25 at 8.39.02 PM

Johan Kamal turut menyatakan rasa ketidakpuashatian terhadap pengadil perlawanan. — Facebook

Ketua Pegawai Eksekutif skuad gergasi merah, Dr Johan Kamal Hamidon menyatakan ketidakpuasan hatinya kepada pengadil perlawanan yang menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT dalam aksi Liga Super menentang Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 3 September lepas/

Dalam satu video tular di laman sosial menyaksikan Johan mempersoalkan tindakan pengadil yang ditemuinya di tempat letak kereta selepas perlawanan itu.

“Jangan lupa ingat akhirat abang. Jangan aniaya orang lain abang, ingat ada kad kuning kad merah kuat dah abang.

“Ingat anak bini kat rumah tu, tanggungjawab itu besar,” itu antara kata-katanya yang boleh didengari dalam video berdurasi 35 saat itu,” katanya dalam video itu.

Dalam perlawanan Liga Super minggu ke-16 itu, Selangor terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram