Gagal ujian e-hailing, lelaki mengamuk guna sabit di PJ


  • 112
  • Jumaat, 25 Nov 2022

Tangkap layar video suspek ditahan polis selepas pihak berkuasa menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

GARA-GARA gagal menjawab ujian mendapatkan lesen kenderaan e-hailing, seorang lelaki mengamuk bersenjatakan sabit di sebuah pejabat sekitar Sungai Way, Petaling Jaya pada Rabu.

Bagaimanapun suspek yang bersenjatakan sabit ditahan polis selepas pihak berkuasa itu menerima laporan mengenai kejadian tersebut daripada orang awam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, maklumat tersebut diterima pihaknya daripada orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Katanya, suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 24 tahun itu mengamuk bersenjatakan sabit akibat tekanan perasaan selepas gagal ujian bagi mendapatkan lesen terbabit.

“Semasa kejadian, suspek memegang sebilah sabit bersaiz 14 sentimeter panjang lalu merosakkan harta milik syarikat tersebut.

“Dalam kejadian itu, tiada individu yang dilaporkan tercedera dan pihak polis turut bertindak menangkap suspek di lokasi itu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam perkembangan yang sama, suspek mengaku terlibat dalam kes yang sama selepas disoal siasat.

Menurut Fakhrudin, suspek dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya, Selangor dan dibenarkan ditahan direman selama empat hari sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 506/426 Kanun Keseksaan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram