SEORANG lelaki menemui ajal selepas terjatuh dari atas sebuah lori treler berat 18 roda baru-baru ini.
Dalam kejadian di Houston, Texas, Amerika Syarikat (AS) itu, mangsa berusia 25 tahun itu pada mulanya menari di atas treler tersebut.
Dia kemudian terjatuh ketika kenderaan terbabit melalui kawasan di bawah sebuah lebuh raya bertingkat.
Jurucakap polis Houston, Jodi Silva berkata, kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 11.35 pagi Khamis di sepanjang Lebuhraya Eastex US-59.
Katanya, mangsa memanjat treler terbabit dan merakam dirinya ketika sedang menari tanpa diketahui oleh pemandu kenderaan itu.
Video berkenaan tular di media sosial, manakala lelaki itu dilihat menunduk di bawah lebuh raya bertingkat sebelum berdiri semula dan meneruskan tariannya.
Tidak beberapa lama kemudian, dia dilihat terjatuh ke atas jalan raya sebelum dibawa ke hospital berhampiran dan dilapor meninggal dunia.
Sementara itu, pemandu treler tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
Polis turut menyoal siasat pemandu itu dan dia dibebaskan tanpa sebarang tuduhan.
"Kami tidak mempunyai kes seperti ini dalam tempoh yang agak lama," kata Silva. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram