Akibat dilanggar lori, badan peniaga bakso melecur tersimbah sup panas


  • Benua
  • Rabu, 16 Nov 2022

Tangkap layar keadaan motosikal peniaga itu selepas dilanggar lori dalam insiden di Indonesia pada Selasa. — Agensi

KEJADIAN tragis menimpa seorang peniaga bakso di Kampung Jatirejo, Kediri, Jawa Timur, Indonesia apabila kuah sup makanan itu tersimbah pada lelaki berkenaan.

Kemalangan yang menimpa mangsa dikongsikan di akaun Instagram @medsoskediri pada Rabu.

Dalam video yang dikongsi, seorang lelaki tidak berbaju kelihatan basah kuyup.

Lelaki yang didakwa peniaga bakso itu dilihat mengerang kesakitan dan kulit badannya turut melecur kerana terkena kuah sup daripada kuali yang dibawanya.

Sementara itu, kelihatan juga motor yang digunakan untuk berniaga bakso itu jatuh bersama barang perniagaannya di atas jalan.

Dalam kenyataan itu menyebut bahawa kejadian itu bermula apabila peniaga itu dilanggar oleh sebuah lori yang sedang memotong kenderaan lain di lokasi kejadian.

“Kronologinya bermula apabila lori memotong dan melanggar motosikal penjual bakso, kemudian peniaga itu tersimbah air kuah berkenaan,” kata akaun Instagram berkenaan.

Difahamkan, kemalangan itu berlaku pada Selasa pada pukul 11.30 waktu Malaysia.

Pemandu lori tersebut tidak melarikan diri, sebaliknya bertanggungjawab dan segera menghantar peniaga bakso itu ke hospital terdekat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram