[VIDEO] Petugas bertindak ganas tolak kekasih bintang bola sepak, cemar momen indah lamaran


  • Podium
  • Rabu, 16 Nov 2022

Tangkap layar pemain pertahanan Vladislav Shubovich memarahi seorang petugas kerana menolak kekasihnya ketika melakukan lamaran.

TINDAKAN seorang pemain bola sepak yang melamar kekasihnya di tepi padang bertukar pergaduhan apabila detik itu dimusnahkan seorang petugas dalam perlawanan tersebut.

Dalam aksi liga Beralus pada Selasa, pemain pertahanan FC Smorgon, Vladislav Shubovich, melakukan lamaran itu selepas berjaya menjaringkan gol pada minit ke-85 sekali gus melakar kemenangan 2-0 buat pasukannya ketika menentang pasukan Volna Pinsk.

Gembira dengan kejayaan tersebut, Shubovich tidak melepaskan peluang keemasan itu apabila memanggil teman wanitanya yang berada di luar padang untuk tampil di garisan tepi padang.

Susulan itu, lelaki berusia 22 tahun itu kemudiannya dilihat melutut dan bersedia untuk melamar kekasihnya.

Namun, segalanya musnah apabila seorang petugas lelaki yang mengawal di luar padang bertindak mengasari dan menghalau wanita terbabit keluar.

Berang dengan situasi itu, Shubovich pantas meluru dan memarahi petugas lelaki berkenaan.

Namun, pertelingkahan itu akhirnya berjaya dileraikan apabila barisan pengadil dan beberapa orang pemain pasukan pelawat bertindak menghentikan pergaduhan tersebut.

Selesai insiden itu, Shubovich sekali lagi melakukan lamaran pada kekasihnya dan menerima tepukan gemuruh daripada rakan sepasukannya.

Difahamkan, lamaran itu diterima oleh kekasihnya dan situasi itu bertambah manis apabila wanita berkenaan dihadiahkan sejambak bunga ros. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram