Kes gaduh di Sabah tiada kaitan dengan politik, kempen PRU


  • 112
  • Rabu, 16 Nov 2022

Tangkap layar pergaduhan di Kampung Bahagia, Kudat pada Ahad.

POLIS menegaskan bahawa tiada sebarang unsur politik ataupun kempen Pilihan Raya ke-15 (PRU15) dalam video tular kejadian pergaduhan di Kudat, Sabah.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata, kejadian pergaduhan di kawasan perumahan di Kampung Bahagia, Kudat itu tercetus apabila seorang pemandu kereta dan seorang penunggang motosikal enggan memberi laluan.

“Siasatan polis mendapati kes pergaduhan ini berlaku antara seorang pemandu kereta dan seorang penunggang motosikal yang masing-masing saling tidak mengalah untuk memberi laluan ketika mereka berselisih di laluan sempit dalam kawasan perumahan di Kampung Bahagia, Kudat pada Ahad.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, polis Kudat turut menasihati agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran masyarakat sekeliling.

Majoriti sebelum ini melaporkan bahawa tular video memaparkan seorang lelaki bergaduh menggunakan alatan berbahaya seperti paip besi di kawasan berkenaan.

Ada pihak yang mendakwa kejadian berkenaan merupakan salah satu daripada kempen PRU15 berikutan kelihatan bendera parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang digantung di salah sebuah rumah di kampung itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram