[VIDEO] Penyokong Sabah nyaris kena hambat petugas keselamatan di Stadium Likas


  • Tular
  • Rabu, 16 Nov 2022

Tangkap layar menunjukkan beberapa penyokong tegar Sabah FC yang didakwa mengasari petugas keselamatan di Stadium Likas, Sabah.

SEKUMPULAN penyokong tegar pasukan Sabah FC cuba mencetuskan kekecohan di Stadium Likas, Sabah dalam aksi Piala Malaysia pada Selasa, tetapi berjaya dikawal pihak keselamatan.

Insiden itu difahamkan berlaku susulan kekalahan pasukan tuan rumah Sabah FC menentang Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia dengan keputusan 0-1.

Berang dengan kekalahan tersebut, beberapa penyokong dilihat mula mencemari suasana di stadium apabila didakwa bertindak kasar dengan menolak dan mencerca salah seorang petugas di situ.

Peka dengan keadaan itu, beberapa anggota polis dengan bersenjatakan cota dikerah ke kawasan penyokong tersebut untuk mengawal keadaan.

Ada satu ketika, seorang anggota polis memberi amaran kepada beberapa penyokong agar bertenang sambil tangannya bersedia dengan cota.

Dikongsikan di laman TikTok, rakaman itu hangat diperkatakan warganet dan menerima lebih 250,000 jumlah tontonan setakat ini.

Tinjauan Majoriti di ruangan komen, rata-rata warganet mengecam perbuatan penyokong tersebut.

"Biar kita kalah tapi ada maruah, jangan merusuh buat kecoh macam itu memalukan pasukan sahaja," kata Zuhairilazmi.

"Sekejap sahaja boleh viral muka mereka, kalau zaman dahulu boleh buat kecoh dan terlepas begitu sahaja, zaman sekarang silap besar kalau buat masalah," jelas Eddy Jia.

"Tak perlu kecoh buat perangai macam budak-budak, kalah menang adat perlawanan," tambah TonyRon.

Sabah FC selepas ini bakal berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Ahad untuk aksi kedua timbal balik bagi merebut tempat ke final Piala Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Sabah FC, Jdt, Stadium Likas, Penyokong Protes,