Kad merah Feroz, aksi 'gelek' Wak Am jadi bualan aksi separuh akhir JDT-Sabah


  • Podium
  • Selasa, 15 Nov 2022

Feroz (kiri) diarah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua ekoran insiden kekasaran terhadap Saddil. — Facebook/Sabah FC

PASUKAN Johor Darul Takzim (JDT) membawa pulang bekalan satu gol selepas menundukkan tuan rumah, Sabah FC 1-0 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2022 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa.

Skuad Harimau Selatan membuka akaun jaringan menerusi rembatan kencang dari luar kawasan penalti oleh pemain sayap lincah, Arif Aiman Hanapi pada minit ke-34.

JDT terus memberikan tekanan ke arah kubu Sabah menerusi beberapa serangan termasuk daripada peledak berbisa, Bergson da Silva dan Fernando Forestieri, namun gagal disudahkan dengan baik.

314972180_2443175105845774_3089099967618927748_n

Arif Aiman menjaringkan gol buat JDT pada minit ke-34. — Facebook

Malah sepakan penalti yang diberikan kepada JDT berjaya diselamatkan penjaga gol Sang Badak, Damien Lim sebelum separuh masa pertama berakhir sekali gus merencatkan usaha Harimau Selatan mencari gol tambahan.

Memasuki separuh masa kedua, Sabah FC memperkemaskan serangan namun tidak berhasil walaupun berkelebihan seorang pemain apabila pemain pertahanan, Feroz Baharudin diarah keluar padang pada minit-72.

Ia selepas insiden kekasaran yang menyaksikan pertahanan muda itu dilayangkan kad kuning kedua akibat kekasaran terhadap pemain import Sabah, Saddil Ramdani.

Perlawanan berlangsung agak fizikal pada babak kedua yang menyaksikan 10 kad kuning dan satu kad merah dilayangkan pengadil, Razlan Joffri Ali.

Selain Feroz, Leandro Velazquez juga digantung satu perlawanan selepas ini namun berkemungkinan dapat kembali beraksi di final sekiranya JDT mara ke peringkat akhir.

Perlawanan berkesudahan 1-0 selepas kedua-dua pasukan tidak berhasil mengubah kedudukan selepas 90 minit masa sebenar permainan.

Menjengah ruangan komen, kebanyakan penyokong JDT berpendapat tackle yang dilakukan Feroz adalah berasas dan tidak sepatutnya dilayangkan kad merah.

Bahkan, pengulas perlawanan, Syed Adney juga turut tidak bersetuju dengan tindakan pengadil yang mengarahkan Feroz keluar padang.

"Macam mana boleh jadi pengadil... tackle bersih pun dapat kad," kata Siti Zulaikha.

"Clean takcle pastu dapat kad kuning kedua dan kad merah. Ni kalau haters cakap JDT beli pengadil lagi tak tahulah," ujar Muhammad Azrul pula.

Selain Feroz, pemain senior Sabah FC, Amri Yahyah juga menjadi bualan penyokong kerana aksi 'bergelek' membenamkan kasut untuk membuat lubang di atas padang sebelum Bergson mengambil sepakan penalti.

Ekoran insiden tersebut, pemain berusia 41 tahun itu turut menerima kad kuning. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram