[VIDEO] Tuduh polis perompak, punggung pencuri Honda berdarah ditembusi peluru


  • Benua
  • Sabtu, 12 Nov 2022

Tangkap layar video salah seorang suspek diikat dan terbaring selepas ditembak di punggung di Banten, Indonesia.

SEORANG pencuri kenderaan ditembak di punggung, selepas cuba menyerang anggota polis yang bertugas di Rawa Mekar Jaya Serpong, dekat Kota Tangerang, Banten, Indonesia baru-baru ini.

Ketua Polis Ciledug, Inspektor Ronald Sianipar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Jelas Ronald, kejadian pada Jumaat itu bermula ketika anggota polis mengekori sekumpulan lelaki di kawasan perumahan Pinang Griya.

"Kumpulan lelaki itu menaiki empat buah motosikal dan sebuah kereta berjenama Honda Vario," katanya.

Setibanya di satu kawasan, kumpulan terbabit yang menyedari mereka diekori sebaliknya mengepung anggota polis terbabit dan menuduh mereka sebagai perompak.

"Kumpulan itu bertanya alasan anggota polis mengekori mereka. Salah seorang daripadanya berkata: Kamu mahu jadi perompak? Nak serang ahli kumpulan saya?" kata Ronald.

Keadaan kemudian menjadi tegang sehingga anggota polis terpaksa melepaskan tembakan amaran.

"Anggota kami mahu ditangkap dan dibelasah. Disebabkan perkara itu mengancam keselamatan, tembakan amaran dilepaskan sebelum kumpulan itu mengerumuni anggota kami," kata Ronald.

Salah seorang suspek yang dikenali sebagai A, 23, kemudiannya terbaring selepas ditembak di punggung sementara keempat-empat rakannya berjaya melarikan diri.

Video A terbaring dan diikat menggunakan tali kini tular di media sosial.

Ronald berkata, salah seorang suspek yang melarikan diri, yang dikenali sebagai Y, 25, merupakan buruan polis sejak Oktober.

"Mereka bersembunyi di Rumpin dan kita masih memburu mereka," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram