[VIDEO] Padah guna jalan ‘shortcut’, anak-beranak melambung bertembung motosikal di PJ


  • Tular
  • Sabtu, 12 Nov 2022

Tangkap layar video pelanggaran yang mengakibatkan ibu dan anak tersebut tercampak di atas jalan raya di Sunway Mentari, Petaling Jaya.

GARA-GARA ingin mengikut laluan pintas (shortcut) dengan memotong laluan di hadapan sebuah kereta, pasangan ibu dan anak cedera selepas dirempuh seorang lagi penunggang motosikal lain pada Khamis.

Kemalangan yang berlaku di Sunway Mentari, Petaling Jaya, Selangor sempat dirakamkan menerusi kamera papan pemuka atau dashcam sebuah kereta yang berada di kawasan kejadian sebelum ia mula tular sejak Jumaat.

Menerusi video terbabit, pelanggaran itu mengakibatkan ibu dan anak tersebut tercampak dan dilihat menahan kesakitan.

Manakala seorang lagi penunggang motosikal dilihat berada dalam keadaan stabil apabila ia kelihatan terduduk selepas pelanggaran terbabit.

Berdasarkan video berdurasi satu minit itu, pengguna jalan raya yang berada di kawasan itu segera memberhentikan kenderaan dan menghulurkan bantuan kepada ketiga-tiga mangsa terbabit.

Tinjauan Majoriti di ruangan komen mendapati rata-rata orang ramai menasihati mangsa agar sentiasa peka dan menjaga keselamatan diri semasa menunggang motosikal.

"Masalah terbesar kebanyakan penunggang motosikal? Selalu nak cepat, selalu pentingkan diri sendiri, selalu tak peduli orang lain di jalan raya, selalu salahkan kereta dan mengabaikan undang-undang," kata Raymond Lim.

"Dah selalu buat shortcut tak perlu tengok kiri kanan, silap hari orang yang tak bersalah tanggung sakit," jelas Zirin Sulaiman.

"Nak shortcut tak ada masalah tapi tengoklah kiri kanan depan belakang," ujar Asad Wahab.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan keadaan ketiga-tiga mangsa sama ada mengalami kecederaan parah atau tidak.

Belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram