KEBELAKANGAN ini industri muzik tanah air kita kian dimeriahi dengan kedatangan artis dari Borneo yang semakin mendapat tempat di hati peminat.
Meskipun dialek bahasa yang digunakan agak berbeza dengan negeri di Semenanjung, namun ia nyata bukan satu penghalang untuk mereka menghasilkan karya diminati ramai.
Ada berpendapat Sabah dan Sarawak merupakan lubuk pemuzik tempatan dan buktinya Malaysia memang dipenuhi dengan penyanyi tersohor kelahiran kedua-dua negeri tersebut.
Berikut Majoriti senaraikan lima penyanyi tempatan tanah air yang berasal dari dua negeri itu.
Hafiz Suip — Instagram
Mohd Hafiz Mohd Suip, 32, ataupun lebih dikenali sebagai Hafiz Suip merupakan penyanyi berbakat yang berasal dari Kuching, Sarawak.
Mula bertapak dalam dunia seni pada 2009, Hafiz berjaya meraih gelaran juara Akademi Fantasia musim ketujuh seawal usia 19 tahun.
Kemenangan itu dilihat berjaya melonjakkan namanya dalam muzik tempatan apabila lagu nyanyiannya sering didengari di corong radio sehingga ke hari ini.
Antara lagu hits nyanyian Hafiz Suip yang masih menghantui peminat adalah Bahagiamu Deritaku, Ku Akui, Awan Nano, Muara Hati dan Matahari.
Dayang Nurfaizah — Agensi
Penyanyi terkenal Dayang Nurfaizah, 41, merupakan antara artis wanita Sarawak yang berjaya membina nama di ibu negara.
Mula menceburi industri muzik pada 1997, Dayang mengambil langkah berani keluar dari negeri kelahirannya untuk menyertai sebuah pertandingan anjuran Radio Televisyen Malaysia RTM di Kuala Lumpur.
Berkat keazaman yang tinggi dalam seni muzik, Dayang berjaya dinobatkan sebagai juara dalam sebuah rancangan realiti Golden Teen Search 1997 pada usia 17 tahun.
Sehingga kini, Dayang masih kekal relevan dengan kekuatan vokalnya apabila masih menjadi pilihan artis muda sebagai pasangan duet dalam lagu.
Bob Yusof — Instagram
Bekas peserta akhir rancangan realiti Akademi Fantasia musim ke dua, Bob Yusof, 41, ataupun nama sebenarnya Yusrizan Usop juga merupakan anak kelahiran Limbang, Sarawak.
Memiliki kehebatan vokal mantap dan alunan suara yang merdu, nama Bob Yusof kembali menjadi sebutan ramai selepas kemunculannya semula di pentas Anugerah Juara Lagu ke 34 apabila menggantikan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza menerusi lagu Anta Permana.
Terbaharu, Bob tampil dengan sebuah lagu berjudul Beribu Rasa sebagai buah tangan terbaharunya buat peminat.
Lagu hasil ciptaan Ajai dan lirik oleh Slen Fadzil itu difahamkan merupakan simbolik buat dirinya yang berjaya mengharungi tempoh sukar pasca pandemik Covid-19.
Stacy — Instagram
Penyanyi dan penari berbakat Sracie Angie Anam, 32, ataupun Stacy merupakan satu nama besar dalam industri muzik tanah air.
Penyanyi kelahiran Panampang, Sabah ini cukup terkenal dengan persembahan bertenaga dan tarian lincah di atas pentas.
Maka tidak hairanlah jika Stacy menerima gelaran 'Ratu Tari Malaysia' kerana mampu mengekalkan kestabilan vokal yang mantap ketika menyanyi dan menari semasa membuat persembahan.
Bakatnya mula digilap menerusi rancangan realiti Akademi Fantasia musim keenam dan Stacy berjaya mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila merupakan juara pertama yang berasal dari negeri Sabah.
Andi Bernadee
Penyanyi meningkat naik, Andi Azrul Andi Mapangile, 31, ataupun lebih mesra disapa sebagai Andi Bernadee kian mendapat tempat di hati peminat khususnya golongan muda masa kini.
Artis dan penyanyi kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini diibaratkan sebagai 'bidang terjun' dalam industri hiburan tanah air apabila sering memuat naik video nyanyian di aplikasi Smule di awal pembabitannya.
Bermula detik itu, namanya semakin dikenali apabila menjadi peserta dalam sebuah rancangan realiti Big Stage musim pertama.
Antara lagu hits nyanyiannya adalah Satu Peluang, Donde dan Shimmy. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram