[VIDEO] Diet 'extreme', wanita sanggup wayar mulut demi berat badan ideal


  • Benua
  • Sabtu, 12 Nov 2022

Mazosiwe berkongsi pengalaman memakai wayar pelangsingan pada rahangnya. — Agensi

SEORANG wanita Afrika Selatan sanggup menyeksa dirinya memakai 'wayar pelangsingan' (slimming wires) pada gigi selepas terdesak untuk menurunkan berat badan sebagai persediaan untuk menjalani pembedahan pengecilan payudara.

Wanita terbabit, Aviwe Mazosiwe berusaha untuk menurunkan berat badan dan mencapai Indeks Jisim Tubuh (BMI) tertentu untuk melayakkan diri menjalani pembedahan pengecilan payudara yang diharapkan dapat meningkatkan kualiti hidupnya, lapor The Sun.

Dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak 12 kilogram (kg) dengan berpuasa, tetapi selepas mencapai angka mendatar dalam penurunan berat badannya, wanita itu memutuskan untuk mengambil langkah yang lebih drastik.

Wanita terbabit kemudian mengambil tindakan drastik memasang 'wayar pelangsing' pada giginya.

Kaedah itu dibuat dengan wayar 'dibalut' pada giginya untuk memastikan rahangnya tertutup.

Ia adalah kaedah penurunan berat badan kontroversi yang mendapat banyak kritikan dalam talian selepas Mazosiwe mula berkongsi pengalamannya itu di TikTok.

"Saya mempunyai begitu banyak komen negatif tetapi saya tidak ingat semuanya kerana saya cuba sedaya upaya untuk tidak memberi tumpuan kepada mereka," katanya kepada The Sun.

Mazosiwe memasang 'wayar pelangsing' itu selama tujuh minggu, dan berjaya menurunkan berat badan sebanyak 14.3 kg.

Oleh kerana rahangnya ditutup, dia bergantung pada makanan dalam bentuk cecair seperti smoothie, sup dan yogurt untuk meneruskan hidup, serta mendakwa rasa pedas sup itu mengawal nafsu makannya.

Selepas 'wayar pelangsingan' dikeluarkan, wanita itu keinginan menikmati burger jalapeno dari tempat kegemarannya, tetapi dia terpaksa menunggu sehari kerana otot rahangnya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri selepas tujuh minggu memakai wayar berkenaan.

'Wayar pelangsingan' antara kaedah penurunan berat badan yang direka untuk membolehkan pemakai membuka mulut hanya kira-kira dua milimeter, sekali gus tidak boleh mengunyah tetapi masih bercakap. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram