TULAR sebuah video kemalangan sejak petang Sabtu melibatkan seorang penunggang motosikal yang menunggang laju di sebuah persimpangan dipercayai di Jeram, Selangor pada Khamis.
Video yang berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah premis berdekatan kawasan kejadian itu memperlihatkan mangsa seakan-akan melekat pada kenderaan itu dan tercampak di jalan berkenaan.
Sebelum kejadian, jalan persimpangan itu kelihatan lengang sebelum kehadiran beberapa buah kereta yang ingin menukar arah perjalanan di kawasan terbabit.
Namun secara tiba-tiba seorang penunggang motosikal menunggang laju dari arah jalan utama tidak sempat menekan brek lalu melanggar sebuah kereta jenis Toyota Estima berwarna putih sehingga menyebabkan cermin kenderaan itu dipercayai pecah.
Berdasarkan video berdurasi 31 saat itu, pengguna jalan raya dan orang ramai yang berada di kawasan itu segera memberhentikan kenderaan dan menghulurkan bantuan kepada mangsa terbabit.
Tinjauan Majoriti di ruangan komen mendapati rata-rata orang ramai menasihati mangsa agar sentiasa peka dan menjaga keselamatan diri semasa menunggang motosikal.
"Orang lain semuanya berhati-hati bila lalu persimpangan, dia seorang sahaja laju," kata Suhaizy Shamsudin.
"Kesian kereta itu yang dilanggar rider, harap driver kereta itu selamat," jelas Ceng Unuu.
"Laju menuju ke alam kubur? Ingat dah terperosok masuk bawah kereta," tulis Wan Jer.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan keadaan terkini mangsa yang difahamkan sudah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.
Belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram