[VIDEO] Gaduh berebut mainan, bapa lempang kawan tadika anak sampai terpelanting jatuh kerusi


  • Benua
  • Sabtu, 12 Nov 2022

Tangkap layar detik kanak-kanak terpelanting dari kerusi setelah dilempang bapa kawan tadikanya di China.

SEORANG budak lelaki berusia lima tahun di Nanjing, China mengalami muka lebam dan bengkak selepas ditampar oleh bapa rakan sekelas tadikanya sehingga terpelanting sampai jatuh kerusi baru-baru ini.

Menurut polis, bapa rakan sekelasnya yang berusia 33 tahun, hanya dikenali sebagai Lu, pergi ke rumah kanak-kanak tersebut selepas mengetahui anaknya dipukul kanak-kanak terbabit di sekolah.

Di dalam sebuah video tular menyaksikan Lu duduk berhadapan dengan kanak-kanak tersebut sebelum bertindak menampar muka kanak-kanak itu lalu menyebabkannya kanak-kanak itu terpelanting dari kerusi.

Tindakan lelaki itu menyebabkan datuk kepada kanak-kanak yang dikenali sebagai Zu terkejut lalu cuba mempertahankan cucunya.

Lelaki tua berusia 64 tahun itu kemudiannya mengangkat kerusi lalu memukul Lu.

Sebagai tindak balas, Lu menolak Zu ke lantai sehingga mengakibatkan kakinya patah dan memerlukan rawatan perubatan.

Keluarga Zu melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa dan pada keesokan harinya, Lu telah ditahan atas tuduhan menyerang.

Siasatan mendedahkan insiden berpunca daripada pergaduhan antara kanak-kanak terbabit yang berebut mainan di taman permainan.

Cucu Zu didakwa menggores belakang kepala anak Lu dengan mainan tersebut sehingga mengakibatkan luka-luka. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram