Dialek bukan kekangan, 5 filem 'evergreen' guna loghat negeri raih perhatian antarabangsa selain Budak Kelantan


  • Hiburan
  • Ahad, 13 Nov 2022

Sebahagian daripada poster filem yang menggunakan dialek negeri sebagai dialog pelakon.

SELAIN kepelbagaian bangsa, negara juga mempunyai keunikan melibatkan dialek bahasa yang digunakan bagi setiap negeri.

Industri perfileman negara juga sebelum ini pernah mengangkat dialek negeri di layar perak, antaranya filem Budak Kelantan yang pernah mencetuskan fenomena sedikit masa lalu.

Seperti tajuknya, filem yang disiarkan pada 2008 ini menggunakan loghat Kelantan sebagai dialog pelakon.

Selain itu, beberapa lagi filem seperti This Is Pilah!, Bunohan, Mami Jarum dan Cun juga menggunakan dialek negeri tertentu.

Berikut Majoriti senaraikan lima filem 'evergreen' yang menggunakan dialek negeri dalam karya masing-masing sehingga meraih perhatian antarabangsa:

Debu Debu Kasih

Karya yang dihasilkan pada 1995 ini menggunakan dialek Terengganu sebagai bahasa dialog pelakonnya.

Menerusi filem ini, watak Sham lakonan Sham Visa merupakan anak Terengganu dan berkomunikasi dengan keluarganya menggunakan dialek negeri itu.

Filem arahan Pansha ini turut menampilkan pelakon lain seperti Aida Aris, Raja Azura dan Rosli Rahman Adam.

Jogho

Jogho merupakan filem yang ditayangkan pada 1999 yang menggunakan hampir 100 peratus dialek Kelantan.

Filem ini menjadikan lokasi di Kelantan sebagai lokasi utama pengambaran serta menampilkan budaya yang ada di negeri serambi mekah itu.

Filem arahan U-Wei Saari ini turut menampilkan pelakon berbakat sepert Khalid Salleh, Normah Damanhuri, Sabri Yunus dan Adlin Aman Ramli.

Selain pengarah terbaik, filem ini juga diangkat sebagai Filem terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke 14 dan Anugerah Skrin 1999.

Juara 1991

Filem ini tidaklah menggunakan sepenuhnya dialek dalam dialog pelakon.

Tetapi, dua watak dalam filem ini lakonan Allahyarham Kuswadinata dan M. Rajoli yang mana kedua-dua mereka melakonkan watak antagonis.

Menariknya, kedua-duanya membawa dialog dengan dialek berbeza iaitu Kuswadinata dengan dialek Negeri Sembilan dan M. Rajoli dengan dialek Kelantan.

Filem ini adalah arahan Yusof Kelana dan ditayangkan pada 1991.

Si Luncai

Filem yang ditayangkan pada 1981 ini merupakan sebuah karya bergenre komedi arahan Omar Rojik.

Menariknya, filem ini memaparkan dialek yang pelbagai antaranya dialek Kedah, Negeri Sembilan, Sarawak dan Kelantan.

Menariknya, pelakon yang terlibat ibarat diberi kebebasan untuk melontarkan dialog masing-masing menggunakan keselesaan dialek mereka.

Antara pelakon yang terlibat ialah R. Jaafar, Azlina Aziz, Yahya Sulong, Normadiah dan Ayappan.

Kaki Bakar 1995

Sebuah lagi filem arahan U-Wei Saari yang disiarkan pada 1995 dan merupakan karya tempatan pertama yang ditayangkan di Festival Filem Cannes, Perancis.

Dialek dalam filem ini adalah dialek Jawa yang dibawakan oleh Khalid Salleh. Wataknya sebagai Kakang merupakan seorang perantau yang berasal dari Jawa, Indonesia.

Antara pelakon yang terlibat dalam filem ini ialah Bell Ngasri, Kuswadinata, Anwar Idris, Azizah Mahzan dan Kamarool Yusoff.

Walaupun siap pada 1995, filem ini hanya ditayangkan di Malaysia pada 2001. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram