[VIDEO] Pemandu Audi cabut lari, 'kecut perut' tular video pukul pelajar guna kayu besbol


  • Benua
  • Jumaat, 11 Nov 2022

Tangkap layar video kejadian buli yang berlaku pada Khamis minggu lalu.

SIFAT panas baran ketika memandu ibarat menjadi norma sehingga ada individu sanggup bertindak membuli pengguna jalan raya lain.

Terbaharu, pemandu kereta Audi bertengkar dengan seorang pelajar dikenali sebagai R, berpunca daripada salah faham.

Pada mulanya, pemandu kereta mewah yang memakai baju kuning itu keluar dari kenderaannya sambil membawa kayu besbol.

Lelaki itu kemudian menuju ke kereta Nissan Navara yang dipandu oleh rakan R.

Ketika pertengkaran antara suspek dan R tercetus, suspek secara tiba-tiba memukul R menggunakan kayu permainan sukan itu.

Video kejadian yang berlaku di Surabaya, Indonesia tular di media sosial baru-baru ini.

Susulan itu, R dan empat rakannya yang menjadi saksi kejadian melaporkan perkara tersebut di Balai Polis Surabaya.

Bercakap kepada pemberita, R berkata, kejadian buli tersebut berlaku pada pukul 10.15 pagi Khamis minggu lalu.

Ketika kejadian, katanya, dia dan rakan-rakannya baru pulang dari kampus dan dalam perjalanan untuk makan.

Tidak beberapa lama kemudian, mereka bertembung dengan suspek di tempat letak kereta di sebuah pasar.

"Kami tidak melanggar keretanya, cuma kenderaan kami mahu berundur.

"Saya tidak tahu mengapa suspek beremosi, mungkin banyak masalah pada hari kejadian.

"Dia turun dari kereta dengan membawa kayu besbol dan kami bertengkar sebelum dia memukul saya," katanya sambil mengakui tidak mengenali suspek.

Tambahnya, suspek memukulnya hanya sekali, namun pukulan itu agak menyakitkan.

Sementara itu, polis masih berusaha menjejak lokasi sebenar suspek tersebut.

Namun, suspek dipercayai melarikan diri keluar dari Surabaya.

"Selepas mengetahui video kejadian membabitkan dirinya tular, dia terus melarikan diri," kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Surabaya, Ajun Komisaris Besar Polisi (AKBP) Mirzal Maulana. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram