[VIDEO] Kejam, penghuni pusat jagaan orang tua ditampar, ditendang petugas tanpa belas kasihan


  • Benua
  • Jumaat, 11 Nov 2022

Mangsa dipukul tanpa belas kasihan oleh seorang jururawat tersebut walaupun dia menjerit kesakitan.

MALANG bagi seorang warga emas yang menghidap dementia apabila ditampar dan ditendang oleh seorang jururawat di sebuah pusat penjagaan orang tua.

Kejadian itu dipercayai berlaku di pusat jagaan warga emas Orenda di bandar Peja, Kosovo baru-baru ini.

Rakaman menyakitkan hati berkenaan dikongsikan secara meluas di media sosial menunjukkan mangsa seorang wanita dikenali sebagai Miniere Nurja dipukul tanpa belas kasihan oleh seorang jururawat, Aurona Pelaj yang bertugas di pusat jagaan tersebut.

Lebih menyakitkan hati, perakam yang juga kakitangan pusat penjagaan berkenaan kedengaran turut ketawa seolah-olah situasi berkenaan melucukan.

Mangsa juga dilihat cuba melawan dan keluar dari bilik berkenaan namun dihalang oleh suspek. Aurona dilihat menampar muka warga emas itu sebanyak empat kali di muka.

"Hanya satu tamparan dan satu tendangan," kata perakam tersebut sambil ketawa.

Turut kelihatan beberapa orang kakitangan pusat jagaan itu yang hanya memerhati kejadian itu dan berlalu pergi dari bilik berkenaan.

Sementara itu, memetik laporan media antarabangsa Star Daily, pihak polis Kosovo mengesahkan sudah menahan suspek.

"Suspek kini sedang disiasat dan tindakan lanjut akan diambil dengan kerjasama penuh dengan pihak pendakwa raya," katanya.

Difahamkan, pihak waris mangsa juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut dan menantu Miniere mengesahkan warga emas itu adalah ibu kepada mendiang anggota Tentera Pembebasan Kosova.

Dalam satu surat yang diberikan kepada pihak media, dia berkata keluarga mangsa bimbang perlakuan keganasan terhadap Miniera.

"Cik Miniere sudah menjadi penghuni pusat ini selama setahun dan kami mengambil berat ke atas apa yang berlaku padanya. Sehubungan itu kami sudah memohon untuk membawa pulang mangsa ke rumah," katanya kepada pihak media. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram