SETIAP individu pasti pernah mempunyai pengalaman bersama atau melihat orang yang melatah sepanjang kehidupan mereka.
Namun, tahukah anda, melatah merupakan satu tindakan atau perbuatan yang berlaku kerana tindak balas di luar kawalan.
Ada masanya, kita sangat terhibur dengan gelagat spontan mereka namun ada juga yang bersimpati terhadap nasib mereka kerana tidak mampu mengawal diri.
Individu melatah sering diusik untuk menghiburkan suasana.
Lebih membimbangkan sekiranya terdapat individu 'nakal' yang sering mengusik mereka seperti mengajuk percakapan, mencucuk pinggang atau mengejutkan individu melatah ini.
Pada masa ini, kita dapat melihat sindrom melatah begitu popular sehingga muncul beberapa rancangan televisyen yang memaparkan gelagat golongan ini.
Tidak kurang juga, video melatah mereka banyak dimuat naik di media sosial untuk tontonan awam.
Dr. Hanafiah Bashirun
Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr. Hanafiah Bashirun berkata, sindrom melatah ini tidak mempunyai ubat atau rawatan khusus untuk membantu pesakit.
"Ia bergantung kepada pesakit itu sendiri untuk menyelesaikan masalah mereka dan tiada angka atau statistik yang dapat menyatakan jumlah sebenar individu yang melatah.
"Namun, individu yang melatah ini mungkin disebabkan terbawa-bawa gelagat tersebut sehingga sukar dibuang.
"Terdapat individu yang melatah ini akan menari, melakukan perbuatan diluar kawalan, mengajuk perkataan dan ada juga yang menyanyi," katanya kepada Majoriti.
Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, melatah secara lazimnya berlaku di negara Asia Tenggara khususnya di Malaysia dan Indonesia.
"Namun, terdapat rekod di mana ia berlaku dalam komuniti kecil di sekitar Filipina, Jepun, Canada dan China tetapi kebanyakannya berlaku dalam kalangan orang Melayu.
"Melatah ini juga bukan disebabkan penyakit keturunan atau genetik sebaliknya ia disebabkan perbuatan yang kerap dilakukan sehingga menjadi kebiasaan," katanya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram