[Video] Rakaman tular polis lepas 12 das tembakan bunuh aktivis cuba kelar wanita


  • Benua
  • Khamis, 10 Nov 2022

Tangkap layar memaparkan aksi pegawai polis menembak mangsa.

RAKAMAN video seorang pegawai polis di Baltimore, Amerika Syarikat (AS) yang menembak mati seorang aktivis pada Ahad tular di media sosial.

Menurut laporan The Baltimore Sun, pegawai polis dikenali sebagai Zachary Rutherford bersama pelatih, Michael Hazel dikatakan tiba di lokasi kejadian selepas menerima maklumat bahawa, terdapat seorang aktivis dikenali sebagai Tyree Moorehead memegang sebilah pisau.

"Difahamkan, pegawai tersebut melepaskan beberapa das tembakan mengenai tubuh lelaki berkenaan.

"Kejadian tersebut menyebabkan aktivis berkenaan mengalami pendarahan teruk sebelum dilaporkan terbunuh di lokasi," tulis laporan itu.

Dalam laporan sama, polis sedang menyiasat punca pegawai tersebut melepaskan 12 das tembakan ke atas lelaki terbabit.

Bapa lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Carlton Moorehead menyifatkan tindakan pegawai polis itu sebagai melampau.

"Polis tidak sepatutnya melepaskan tembakan sebanyak itu sehingga menyebabkan kematian kepada anak saya," katanya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian dikenali sebagai Demontea Madison berkata, pegawai tersebut melepaskan tembakan walaupun lelaki itu sudah terbaring akibat tembakan sebelum itu.

Difahamkan, pegawai dan pelatih tersebut kini ditempatkan di jabatan lain sementara siasatan dijalankan.

Kejadian berlaku selepas Moorehead menyerang seorang wanita menggunakan sebilah pisau, namun tidak dapat dipastikan punca serangan itu.

Polis yang menerima panggilan berhubung kejadian tiba di lokasi sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah Moorehead untuk mengawal situasi.

Moorehead merupakan seorang aktivis antikekerasan dan dikatakan mengalami tekanan jiwa beberapa bulan sebelum kejadian.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Tular, video, tembakan, polis, mati, aktivis, pisau, jenayah