Calon artis jadi YB, pengundi belah bahagi tapi ada mahu beri peluang


  • Politik
  • Rabu, 09 Nov 2022

Penglibatan golongan artis dalam dunia politik mengundang pelbagai reaksi orang ramai.

PENGLIBATAN golongan artis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mengundang pelbagai reaksi pengundi.

Antara yang menjadi tumpuan ialah penyertaan pelakon dan pengarah, Ahmad Idham Ahmad Nadzri serta pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof yang diumumkan sebagai calon bagi Gerakan Tanah Air (GTA).

Ahmad Idham akan bertanding di Parlimen Port Dickson, manakala Eizlan Yusof pula bertanding di Sabak Bernam.

1794468

Sebelum ini, terdapat beberapa rakan artis terlibat dengan politik seperti Datuk Dira Abu Zahar yang mengikut jejak bapanya, selain selebriti yang aktif seperti Shahrol Shiro dan dan Anne Ngasri.

Keputusan golongan artis menceburi bidang politik bukan sahaja mampu menjadi daya penarik kepada parti malah merupakan satu dimensi baharu.

Namun begitu, penglibatan Ahmad Idham dan Eizlan Yusof secara serius dalam dunia politik menjadi tumpuan penduduk terutamanya di Port Dickson dan Sabak Bernam.

1501818

Ahmad Idham dan Eizlan Yusof

Rata-rata penduduk meluahkan perasaan berbelah bahagi dan masih keliru untuk membuat keputusan apabila tibanya hari mengundi.

Salah seorang pengundi di Parlimen Port Dickson yang ingin dikenali sebagai Ahmad Hasbi, 36, berkata, penglibatan golongan artis dalam dunia politik kurang meyakinkan.

"Saya kurang yakin kerana mereka masih baru dalam dunia politik dan banyak asam garam yang harus dipelajari. Masalah penduduk setempat tidak boleh diberikan kepada orang sebarangan.

"Mereka harus membuktikan dahulu kemampuan, mungkin golongan ini telah berjaya dalam dunia hiburan namun tidak semestinya mampu menyelesaikan masalah penduduk setempat.

"Ia dua dunia yang berbeza antara politik dan hiburan. Saya sangat berharap calon yang terpilih menjaga kawasan di Port Dickson ini membuktikan dengan perbuatan bukan sekadar menabur janji," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2022-11-09 at 3.39.01 PM

Calon kerusi panas Parlimen Port Dickson.

Sementara itu, Aisyah Ramli, 48, berkata, calon dari golongan artis ini berdepan tugas sukar kerana terpaksa berhadapan dengan calon yang lebih berpengalaman dalam dunia politik.

"Kita ambil contoh Ahmad Idham dan Eizlan Yusof, mereka akan berdepan dengan orang kuat dari parti berbeza, sekiranya mereka tidak merancang strategi dengan baik, karier politik mereka akan sedikit sukar.

"PRU kali ini banyak menampilkan muka baharu termasuk golongan artis, saya percaya tindakan ini untuk menarik pengundi dan tiada siapa tahu sejauh mana keberkesanan strategi ini," jelasnya.

Dalam pada itu, salah seorang pengundi di Parlimen Sabak Bernam yang ingin dikenali sebagai Hambali, 32, berkata, dia akan memilih calon yang bersih dan mampu membawa kebaikan kepada penduduk setempat.

"Saya rasa tidak salah memberi peluang kepada muka baharu seperti golongan artis mencuba nasib. Sekiranya menang, kita akan melihat sejauh mana kemampuan dan kesungguhan mereka menjaga penduduk setempat.

"Sekiranya mereka gagal, ini akan menjadi penanda aras kepada semua pengundi terhadap penglibatan artis dalam dunia politik," jelasnya.

Kerusi Parlimen Port Dickson yang menjadi antara ‘kerusi panas’ di Negeri Sembilan menyaksikan pertandingan lima penjuru pada PRU15.

Calon Pejuang, Ahmad Idham bakal berhadapan tugas sukar berdepan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (Pakatan Harapan),calon Barisan Nasional, bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P.Kalamananthan.

Turut memberikan saingan dalam pertembungan lima penjuru itu ialah calon Perikatan Nasional yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan. Rafiei Mustapha dan calon Bebas, Abdul Rani Kulup Abdullah.

Sementara Eizlan Yusof akan bertanding atas tiket Pejuang menentang calon Barisan Nasional Abd Rahman Bakri, Kalam Salan (Perikatan Nasional) dan Samsul Ma'arif Ismail (Pakatan Harapan).— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram