PENDUDUK di Parlimen Gombak mengemukakan tiga masalah utama yang harus diselesaikan wakil rakyat sekiranya meraih kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Tiga masalah tersebut melibatkan isu kebanjiran warga asing, pembuangan sampah secara terbuka dan kes jenayah seperti pecah rumah serta kecurian di kawasan Gombak, Selangor.
Rata-rata penduduk yang ditemui Majoriti berharap calon yang mendapat kepercayaan pengundi mampu menyelesaikan masalah penduduk seterusnya menjaga kawasan Gombak, Selangor ke arah lebih baik.
Parlimen Gombak menjadi salah satu kerusi panas pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini selepas parti politik menampilkan calon Heavyweight antaranya Datuk Seri Azmin Ali yang mewakili Perikatan Nasional (PN), Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dari Pakatan Harapan (PH) dan Ketua Umno Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din dari Barisan Nasional (BN).
Turut bertanding, Aziz Jamaluddin yang mewakili Pejuang serta Zulkifli Ahmad yang menjadi calon bebas.
Tiga masalah utama yang harus diselesaikan di Parlimen Gombak.
Sebelum ini, pengacara sensasi dilaporkan ingin bertanding namun menarik diri pada saat akhir selepas bermimpi arwah ibunya, Che Tom Yahaya pada malam sebelum menghantar borang pencalonan pada Sabtu.
Salah seorang penduduk di Parlimen Gombak, Rozali Mohd Nazir, 62, berkata, masalah utama yang berlaku di kawasan Gombak, Selangor ialah kebanjiran warga asing.
Rozali Mohd Nazir.
"Kebanjiran warga asing di Gombak bukan isu baharu namun saya berharap calon yang menang dapat menyelesaikan perkara ini.
"Saya yang juga merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) fizikal berharap calon sentiasa turun padang melihat masalah yang dihadapi penduduk di kawasan ini. Bukan hanya menunggu pilihan raya untuk munculkan diri," katanya kepada Majoriti.
Hasmah Hassan.
Sementara itu, Hasmah Hassan, 56, berkata, terdapat beberapa kawasan di daerah Gombak yang terlalu padat dengan penduduk sehingga timbul pelbagai masalah.
"Selain terlalu padat, masalah utama yang harus diambil kira melibatkan isu jenayah di Gombak. Sudah beberapa kali kes pecah rumah berlaku dan ini menjadi kebimbangan kepada penduduk tempatan.
"Saya percaya semua calon yang dipertandingkan mempunyai kelebihan masing-masing dan sekiranya pengundi sudah menjalankan tanggungjawab memilih wakil rakyat, kini tugas mereka membantu penduduk," jelasnya.
Mohd Saiful Sahak.
Dalam pada itu, Mohd Saiful Sahak, 39, berkata, masalah pembuangan sampah harus menjadi salah satu perkara untuk ditangani wakil rakyat.
"Jika dilihat dengan kemampuan calon yang bertanding, semuanya hebat-hebat belaka dan saya percaya setiap calon mempunyai kelebihan masing-masing.
"Bagi saya, masalah pembuangan sampah harus diselesaikan wakil yang menang kerana kita tidak mahu kawasan Gombak tercemar dan tidak sedap dipandang apabila tiba di kawasan ini," katanya.
Lima calon merebut peluang untuk menjadi wakil rakyat di Parlimen Gombak.
Kerusi Parlimen Gombak menyaksikan persaingan lima penjuru membabitkan Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Seri Amiruddin Shari, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din, Jamaludin Mohd Tahir dan Zulkifli Ahmad.
Menurut laman web rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya, seramai 206,744 pengundi akan terlibat untuk memilih calon di kawasan mereka. Pada PRU14, kerusi Parlimen Gombak dimenangi Azmin Ali dengan majoriti 48,721 undi.
SPR menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 November dan pengundian awal pada 15 November.
PRU15 mencatat sejarah apabila merekodkan seramai 945 calon disahkan layak bertanding untuk merebut 222 kerusi Parlimen di seluruh negara iaitu calon paling ramai dalam sejarah PRU negara.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram