'Dah penat hari-hari hadap kesesakan, jalan pula dah macam naik kuda'


  • Massa
  • Rabu, 09 Nov 2022

Keadaan jalan raya yang teruk mendedahkan penguna dengan risiko kemalangan.

BUKAN sahaja permukaan jalan raya yang teruk malah penduduk di sekitar Jelatek dan Setiawangsa, Kuala Lumpur terpaksa menghadapi kesesakan lalu lintas hampir setiap hari.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung pada 19 November ini, rata-rata penduduk di kawasan tersebut memohon pihak bertanggungjawab menyelesaikan masalah tersebut.

Rata-rata orang ramai yang ditemui Majoriti meluahkan perasaan kurang senang dengan keadaan jalan dan terpaksa meredah kesesakan hampir 40 minit hanya untuk ke ibu kota walaupun berjarak kira-kira lima kilometer.

1773169 (1)

Menurut salah seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Adiba, 29, masalah kesesakan dan jalan raya yang teruk bermula hampir empat tahun lalu.

"Perkara ini bukan baharu malah sudah berlanjutan sejak empat tahun lalu. Keadaan jalan yang sangat teruk dan saya terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalu lintas hampir setiap hari.

"Saya berpendapat ini mungkin disebabkan pembinaan lebuh raya baharu iaitu Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE) di kawasan tersebut," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2022-11-09 at 12.30.13 PM

Pengguna jalan raya terpaksa meredah kesesakan hampir setiap hari.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Zareena Mustapha, 58, berkata, keadaan jalan yang teruk menyebabkan pengguna jalan raya terdedah dengan kemalangan dan kerosakan kenderaan.

"Ini bukan isu kecil kerana ia melibatkan nyawa pengguna jalan raya. Jalan ini merupakan laluan utama penduduk ke Pusat Bandar dan sepatutnya ia diselenggara dengan baik bagi mengelak kemalangan.

"Saya sangat berharap pihak berwajib mengambil inisiatif untuk membaiki jalan dan mencari solusi untuk mengelakkan masalah kesesakan jalan raya terus berlanjutan," jelasnya.

WhatsApp Image 2022-11-09 at 12.30.46 PM

Selain jalan yang teruk, pengguna terpaksa membuat pusingan U yang jauh untuk ke Pusat Bandar.

Dalam pada itu, Abdul Hafiz Ahmad, 41, berkata, pengguna jalan raya terpaksa melalui jalan yang jauh dan menempuh kesesakan.

"Saya duduk di Sri Rampai, Kuala Lumpur dan terpaksa membuat pusingan U yang agak jauh untuk menghala ke ibu negara. Kalau musim hujan seperti sekarang, sampai satu jam nak redah kesesakan.

WhatsApp Image 2022-11-09 at 12.45.25 PM

Pengguna terdedah dengan risiko kemalangan kerana keadaan permukaan jalan yang teruk.

"Jalan di kawasan ini sangat teruk, macam naik kuda kerana terpaksa berhenjut-henjut sebab jalan yang teruk. Saya sendiri pernah nampak penunggang motosikal kemalangan kerana cuba mengelak lubang.

"Harap pihak berwajib jalankan tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah kesesakan dan jalan raya berlubang ini. Bukalah mata untuk membantu masalah rakyat," katanya.

Parlimen Setiawangsa menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan penyandangnya Nik Nazmi Nik Ahmad (Pakatan Harapan), Izuddin Ishak (Barisan Nasional) dan Nurul Fadzilah Kamaluddin (Perikatan Nasional).

Turut bertanding ialah Bibi Sunita Sakandar Khan (Pejuang), Mejar Mior Rosli (Bebas) dan Stanley Lim Yen Tiong (Bebas). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram