KAPAL terbang Ethiopian Airlines nyaris terlepas pendaratan selepas dua juruterbangnya tertidur.
Kapal terbang jenis Boeing 737-800 itu dalam perjalanan dari Sudan ke Ethiopia namun dilihat tidak turun apabila menghampiri lapangan terbang.
Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan berkata, Pusat Kawalan Trafik udara cuba menghubungi juruterbang namun tidak berjaya.
"Dua juruterbang itu hanya terjaga daripada tidur selepas autopilot pesawat terputus sehingga membunyikan penggera amaran.
"Mereka kemudian berjaya mendaratkan pesawat dengan selamat dan berada di lapangan selama dua jam setengah, sebelum berlepas untuk penerbangan seterusnya," katanya.
Menurut kenyataan itu, satu siasatan sedang dijalankan berkenaan dengan kejadian tersebut yang melibatkan keselamatan penumpang.
Malah, juruterbang yang terlibat juga telah digantung tugas sehingga selesai siasatan.
Dalam pada itu, pakar aviasi, Alex Macheras berkata, kejadian itu sesuatu yang mengejutkan dan kemungkinan berpunca daripada keletihan juruterbang.
"Keletihan juruterbang bukanlah hal baru dan akan terus menjadi ancaman paling signifikan terhadap keselamatan udara," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram