'Kasihan anak aku', wanita tersungkur kena belasah sekumpulan remaja berjersi bola


  • Benua
  • Sabtu, 20 Ogos 2022

Tangkap layar rakaman kejadian sepasang suami isteri dan anak mereka dibelasah sekumpulan remaja yang baru pulang bermain bola. — Facebook

SEPASANG suami isteri dan anak mereka yang masih kecil menjadi mangsa amukan sekumpulan remaja yang baru pulang bermain bola sepak.

Kejadian itu bermula ketika mangsa yang menaiki sebuah kenderaan membunyikan hon kepada kumpulan remaja terbabit yang turut melalui jalan sama.

Remaja-remaja lelaki itu yang menaiki motosikal dikatakan tidak mengendahkan bunyi hon hingga menyebabkan pemandu kereta memintas mereka.

Hal itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan mereka yang mengakibatkan kumpulan remaja tadi mengejar dan memintas kereta tersebut.

Suami isteri yang dikenali sebagai Wandi Jaya, 23, dan isterinya Rafifah Ayu, 22, serta anak mereka kemudian ditarik keluar dan dipukul oleh remaja berkenaan.

Kejadian di Jeneponto, Sulawesi Selatan, Indonesia pada Selasa lalu (16 Ogos), kira-kira pukul 5.30 petang itu sempat dirakam dan tular di media sosial.

Dalam rakaman itu, mangsa dilihat dibelasah oleh beberapa remaja yang memakai jersi bola.

Rakaman kejadian sepasang suami isteri dan anak mereka dibelasah sekumpulan remaja yang baru pulang bermain bola. — Facebook

Malah kelihatan salah seorang daripada mereka mengambil sebatang kayu dipercayai untuk memukul mangsa.

Turut kelihatan seorang wanita yang mengendong budak kecil tersungkur jatuh ke tanah sambil suaranya kedengaran menangis meminta tolong dan belas ihsan agar tidak dicederakan.

Kes itu disahkan oleh Ketua Polis Bangkala, Iptu Sarro sambil memberitahu bahawa kejadian itu berlaku di Jalan Nasara, Kampung Bontorannu.

“Selepas dipukul, mangsa melaporkan kejadian itu kepada polis,” kata Sarro seperti dilaporkan Kompas.com, pada Jumaat.

Tidak mengambil masa lama, polis menahan dua pelaku dikenali sebagai AS dan TF masing-masing berusia 19 dan 17 tahun.

AS ditahan ketika bermain telefon bimbit di rumahnya di Kampung Cinong, daerah Tamalatea, wilayah Jeneponto.

Sementara itu, TF ditahan ketika dia sedang nyenyak tidur di rumahnya, di Kampung Tonro Kassi, Tamalatea.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Jeneponto, Iptu Nasaruddin berkata, tiga lagi suspek masih diburu.

“Kami menahan dua suspek dan ketika ini, tiga lagi suspek masih diburu. Kami mencadangkan agar ketiga-tiganya menyerah diri serta-merta kerana identiti mereka sudah dikenal pasti,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram