Tiada ruang buat pengkhianat jadi calon PRU — Ahmad Jazlan


  • Primer
  • Sabtu, 20 Ogos 2022

Ahmad Jazlan turut menegaskan bahawa UMNO Kelantan sekali lagi kekal dengan pendirian untuk bergerak secara solo.  — Agensi

PENGERUSI Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menegaskan bahawa tiada ruang buat mana-mana bekas pemimpin parti itu yang telah keluar dan ingin kembali semula kepada parti itu untuk bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu berkaitan kemasukan semula ramai ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada Umno.

Menurutnya, sehingga Sabtu ramai ahli Bersatu di peringkat bawah yang dahulunya daripada UMNO kini membuat ‘u-turn’ dan kembali semula bersama parti keramat itu.

“Kita terbuka terima, asal sahaja Melayu kita terima, namun untuk memberi kerusi kepada mereka bertanding pada PRU ini adalah tidak mungkin.

“Ini termasuk pemimpin senior yang dahulunya menjawat jawatan tertinggi dalam parti Umno.

“Mereka ini adalah pengkhianat! Namun atas nama bangsa Melayu, Umno menerima kemasukan semula mereka,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Sabahat Usahawan AIM Cawangan Machang di Pusat Transformasi Ilmu pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Perundangan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Jani Izwandy Che Jan.

Jazlan berkata, bekas ahli Umno yang ada di dalam Bersatu kini sudah mula sedar bahawa parti bunga tersebut tidak ada masa depan.

Ketika ditanya berhubung kerjasama dengan parti lain pada PRU akan datang, beliau berkata, Umno Kelantan sekali lagi kekal dengan pendirian untuk bergerak secara solo.

“Umno Kelantan di semua peringkat sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen sudah bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapi PRU15.

“Keputusan sudah dibuat di peringkat negeri, kami tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti. Kami akan bergerak solo,” jelasnya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram