'Amboi sakan guna duit orang', 2 wanita songlap kad ATM 'shopping' Milo, rokok


  • Tular
  • Sabtu, 20 Ogos 2022

Tangkap layar rakaman tular dua wanita menggunakan kad ATM dipercayai milik orang lain untuk membeli-belah barangan runcit. — Twitter

DUA wanita tular di Twitter selepas mereka dipercayai membelanjakan wang milik orang lain menggunakan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang dicuri.

Perkara itu didedahkan seorang pengguna Twitter @rinajml yang mendakwa wanita terbabit merompak rakannya dan menghabiskan duit di dalam banknya.

Rina turut memuat naik rakaman video dan tangkap layar televisyen litar tertutup (CCTV) dua kejadian berbeza yang menunjukkan kedua-dua wanita itu berbelanja sakan di sebuah kedai serbaneka dan kedai runcit.

Menerusi gambar tangkap layar pertama, mereka kelihatan memakai topi keledar dalam kedai serbaneka 7E manakala rakaman kedua menunjukkan mereka berpakaian lain serta mengunakan pelitup muka.

Dalam rakaman video itu juga menunjukkan dua wanita tersebut menggunakan fungsi paywave untuk membeli beberapa barang seperti Milo, Nutella dan rokok.

Rakaman tular dua wanita menggunakan kad ATM dipercayai milik orang lain untuk membeli-belah barangan runcit. — Twitter

"Ni footage dia cuba satu persatu kad kawan saya... amboiii seronok eh guna duit orang?," ciap Rina.

Tambah Rina, rakaman itu bukan rakaman penuh.

"Kawan saya kata pekerja 7E tu ada suruh mereka guna nombor pin tapi mereka tak nak.

"Nasib baik kawan saya dah suruh bank sekat kad-kad yang dia ada. Tapi ada satu bank tu memang sempat mereka paywave kad tu sampai habis," dakwanya.

Kejadian itu difahamkan berlaku di Pulau Pinang berdasarkan twit Rina yang meminta warga negeri itu menularkan wajah suspek.

Belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu.

Sementara itu, di ruangan komen, rata-rata warganet mengecam tindakan wanita terbabit.

"Asal merompak je beli Milo... tak ada benda lain ke nak beli?, soal @adiehussin94.

"Apa bingailah perangai. Bawa balik bagi anak makan, lepas tu semua jahanam!," ujar @HaikalHH2. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram