Negara jiran benar rakyat tanam ganja, kawalan di sempadan Malaysia-Thailand diperketat


  • 112
  • Sabtu, 20 Ogos 2022

Thailand membenarkan rakyatnya menanam ganja untuk kegunaan sendiri. — Agensi

TINDAKAN kerajaan Thailand membenarkan rakyatnya menanam ganja di rumah bermula 9 Jun lalu bukanlah tiket kepada rakyat tempat untuk melakukan perkara sama.

Justeru, warga tempatan atau individu yang dikesan membawa masuk minuman ganja dari negara jiran itu boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, perbuatan itu adalah satu kesalahan dan tindakan boleh diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis sentiasa memperketat kawalan di sempadan Malaysia-Thailand bagi mengatasi jenayah penyeludupan dadah termasuklah ganja.

"Selain kerjasama dan perkongsian maklumat antarabangsa antara negeri-negeri sempadan, Bukit Aman serta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perlis turut melaksanakan Op Tapis Khas bagi mengesan dan menghapuskan tempat penagihan dadah," katanya kepada media tempatan pada Sabtu.

Surina berkata, polis juga akan mengesan penagih tegar yang menjadi punca kepada kewujudan 'port' penagihan dadah hingga mempengaruhi remaja untuk terus terlibat dengan penagihan.

Tegasnya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana kegiatan dadah.

Sebagai rekod, Thailand membenarkan rakyatnya menanam ganja untuk kegunaan sebagai bahan makanan atau minuman selain dihisap di rumah sendiri.

Walaubagaimanapun, penanaman ganja secara sah di negara itu menimbulkan kebimbangan ia boleh menyebabkan peningkatan ketagihan dadah. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram